Permaisuri Johor kurnia elaun peribadi kepada YRZSNJ

Raja Zarith Sofiah berkenan mengurniakan elaun bulanan baginda daripada kerajaan negeri kepada dana pentadbiran YRZSNJ. - Foto Royal Press Office
Raja Zarith Sofiah berkenan mengurniakan elaun bulanan baginda daripada kerajaan negeri kepada dana pentadbiran YRZSNJ. - Foto Royal Press Office
A
A
A

JOHOR BAHRU - Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan mengurniakan elaun bulanan baginda daripada kerajaan negeri kepada dana pentadbiran Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ).

Baginda bertitah, keputusan berkenaan dibuat kerana ketika ini negara berdepan dengan pelbagai cabaran ekonomi dan ramai terkesan akibat keadaan itu lebih-lebih lagi disebabkan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

“Oleh yang demikian, saya membuat keputusan untuk mengurniakan elaun bulanan saya kepada dana pentadbiran pejabat yayasan berikutan terdapat ramai kakitangan yang sedang berkhidmat,” titah Permaisuri Johor.

Baginda bertitah demikian kepada Royal Press Office (RPO) selepas berkenan mempengerusikan mesyuarat YRZSNJ di Istana Bukit Serene di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah YRZSNJ, Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ, Hishamuddin Abdul Rahim dan Bendahari Kehormat YRZSNJ, Mohammad Nazrul Abd Rahim.

Raja Zarith Sofiah (tengah) berbincang dengan Azmi Rohani (dua dari kiri) dan pemimpin YRZSNJ selepas mempengerusikan mesyuarat di Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini. - Foto Royal Press Office
Raja Zarith Sofiah (tengah) berbincang dengan Azmi Rohani (dua dari kiri) dan pemimpin YRZSNJ selepas mempengerusikan mesyuarat di Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini. - Foto Royal Press Office

YRZSNJ yang ditubuhkan pada tahun 2012, bukan sahaja membantu rakyat memerlukan, malah dana digunakan bagi pembiayaan pendidikan, bantuan bencana serta sumbangan kepada mereka yang terkesan akibat penularan Covid-19.

Baginda bertitah, mesyuarat hari ini turut membincangkan usaha membantu anak-anak pesakit kanser golongan B40 dengan kerjasama Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, turut dibincangkan mengenai pembiayaan pengajian peringkat diploma bagi kursus seni ukiran kayu, di mana bakat anak-anak muda negeri Johor boleh dimanfaatkan menjadi tenaga kerja bertauliah di The Johor Collection, pada masa sama menjadi sumber pendapatan mereka pada masa akan datang," titah baginda.