PRK Semenyih: Calon PH mesti bijak, cergas - Tun M

A
A

PRK Semenyih: Calon PH mesti bijak, cergas - Tun M

Calon mewakili Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih mesti sangat bijak dan cergas, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Bersatu itu menegaskan calon bagi mengharungi ‘pertempuran’ di Dun Selangor itu juga harus mempunyai beberapa kriteria lain antaranya sifat simpati kepada orang lain dan media.

Beliau yang berkeyakinan bahawa parti itu mempunyai sokongan kuat dalam kalangan pengundi Melayu di Semenyih, meskipun analisis awal mendapati kerusi Dun berkenaan bakal menyaksikan pertandingan membabitkan lebih dua penjuru.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan wujud perpecahan undi sehingga mengundang kesan negatif terhadap sesetengah parti yang memasuki ‘gelanggang’ persaingan.

RON95-Euro 4M mula digunakan pada 2020

Kerajaan bersetuju menangguhkan penggunaan petrol berkualiti tinggi yang mengikut standard bahan bakar Eropah (RON95-Euro 4M) sehingga 1 Jan 2020, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menurut Saifuddin Nasution Ismail Malaysia sepatutnya mula menggunakan petrol RON95-Euro 4M pada Disember tahun lepas.

Katanya, perkara tersebut dibawa kepada pengetahuan kabinet dan keputusan menunda penggunaannya mendapat persetujuan mereka.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata kerajaan masih belum bersedia melaksanakan penggunaan bahan bakar RON95-Euro 4M kerana PH perlu menumpukan kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

MRT laluan SSP siap 41 peratus

Kerja-kerja pembinaan projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) siap 41 peratus setakat akhir Disember lalu.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) Sdn Bhd, Datuk Najmuddin Abdullah, berkata berdasarkan kemajuan semasa, projek itu akan dapat diteruskan dengan fasa pembinaan seterusnya sebagaimana dijadualkan menjelang 2022.

Katanya, terowong pertama yang siap ialah antara Stesen MRT Bandar Malaysia Utara dan Stesen MRT Chan Sow Lin, daripada 16 terowong yang diperlukan untuk melengkapkan seksyen bawah tanah sepanjang 13.5 kilometer.

Beliau berkata, seksyen terowong itu digali menggunakan mesin pengorek terowong (TBM) yang canggih dan mengambil masa kira-kira 11 bulan meliputi jarak bawah tanah sepanjang 1.9 kilometer.

Pendirian Malaysia dalam isu Palestin perlu disokong: Duta

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata suara lantang Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu Palestin perlu mendapat sokongan pelbagai pihak dan negara di seluruh dunia bagi memperjuang nasib rakyat negara itu.

Secara peribadi katanya beliau sedih melihat bagaimana Malaysia dan Dr Mahathir dibiarkan bersendirian berhubung isu baru-baru ini, yang mana, malangnya, turut menyaksikan negara Arab lain turut mendiamkan diri dalam perkara itu.

Sehubungan itu katanya beliau berharap mereka yang percayakan demokrasi, hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa untuk tampil ke hadapan dan menunjukkan solidariti dengan Malaysia dan pemimpinnya.

Abu Bakar Bashir dipantau: Ketua Polis Negara

Ulama radikal Indonesia, Abu Bakar Bashir akan dipantau rapi Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman jika beliau dibebaskan oleh kerajaan republik berkenaan, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Kata beliau, proses pemantauan itu sedang berlaku agar beliau tidak terlibat dalam usaha merekrut atau menghidupkan kembali perjuangan lampaunya berkaitan dengan JI.

Mohamad Fuzi berkata pihaknya akan menghubungi Polis Republik Indonesia bagi mengetahui perkembangan terkini mengenai Abu Bakar.

Sebelum ini, pemerintah Indonesia sedang mengkaji semula keputusan untuk membebaskan Abu Bakar, dalang insiden pengeboman kelab malam di Bali pada tahun 2002 setelah republik itu mengumumkan minggu lepas pembebasan lebih awalnya atas dasar kemanusiaan.

Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia