Polis digesa ambil tindakan terhadap Anwar

Khazan (tengah) bersama Ketua Penerangan Bersatu Terengganu, Badrolhisham Mohd Shafie (kanan) membuat laporan polis terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, hari ini.
Khazan (tengah) bersama Ketua Penerangan Bersatu Terengganu, Badrolhisham Mohd Shafie (kanan) membuat laporan polis terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bersatu Terengganu membuat laporan polis bagi menggesa tindakan diambil ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memperoleh majoriti mencukupi untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Bersatu Terengganu, Khazan Che Mat berkata, kenyataan Anwar dilihat mempunyai unsur hasutan dan mendatangkan kebimbangan kepada rakyat.

"Saya mahu ingatkan bahawa ini bukan kali pertama beliau menyatakan mempunyai majoriti itu. Ketika Tun Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) meletak jawatan pun beliau berpendirian sama tetapi yang berlaku sebaliknya.

"Setelah seseorang dilantik untuk memimpin negara, saya kira tidak sesuai untuk sesiapa pun mendakwa ada sokongan majoriti daripada mana-mana Ahli Parlimen yang hanya bersandarkan kepada dakwaan," katanya selepas selesai membuat laporan berkenaan.

Menurutnya, sebahagian daripada ahli Parlimen yang disebut menyokong Anwar juga membuat penafian secara terbuka.

Khazan berkata, tindakan Anwar juga dilihat tidak baik seolah-olah mempermainkan institusi diraja serta Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Tindakan beliau tidak sesuai dalam keadaan negara kita dilanda koronavirus (Covid-19) dan ekonomi yang terjejas,"katanya.

Dalam pada itu, ditanya sekiranya Anwar benar-benar mempunyai majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan katanya, Agong berkuasa menentukan keputusan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Anwar dalam satu sidang akhbar di sebuah hotel di ibu negara pada 23 September lalu mendakwa mempunyai majoriti hampir dua pertiga ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu sekali gus menumbangkan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin.