Semua Ahli Parlimen Bersatu sokong Muhyiddin

Hamzah Zainuddin
Hamzah Zainuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Semua ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kekal teguh memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri yang juga Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, sokongan tidak berbelah bahagi kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan dan semua Ahli Parlimen Bersatu tidak terlintas sedikit pun untuk berpendirian sebaliknya.

Menurutnya, dakwaan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau mendapat sokongan majoriti untuk menubuhkan kerajaan baharu adalah dakwaan tidak berasas dan bersifat rekaan semata-mata.

"Percaturan beliau (Anwar) untuk menubuhkan kerajaan baharu ini membuktikan bahawa beliau seorang ahli politik yang mementingkan diri.

"Beliau sanggup meletakkan cita-cita peribadi ingin menjadi Perdana Menteri melampaui segalanya sehingga sanggup mengorbankan kepentingan rakyat.

"Dakwaan Ahli Parlimen Port Dickson ini juga telah menambahkan kebimbangan dalam kalangan rakyat ketika ini yang amat bergantung kepada kerajaan dalam mengekang gelombang ketiga penularan wabak Covid-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 18 Ahli Parlimen Pas sokong Muhyiddin

Sehubungan itu, ujar beliau, Bersatu menyeru kepada semua rakyat untuk tidak menghiraukan dakwaan Anwar.

Artikel Berkaitan:

Katanya, rakyat diminta terus memberikan kerjasama padu kepada kerajaan untuk mengekang penularan wabak Covid-19 dan seterusnya memulihkan semula ekonomi negara.