Pekerja am sekolah maut, motosikal dirempuh kereta

Suasana di lokasi kejadian yang menyaksikan sebuah motosikal dirempuh kereta semalam. -Foto ihsan PDRM
Suasana di lokasi kejadian yang menyaksikan sebuah motosikal dirempuh kereta semalam. -Foto ihsan PDRM
A
A
A

TEMERLOH - Seorang pembonceng motosikal maut manakala penunggang cedera parah akibat dirempuh dalam kemalangan yang berlaku di di Kilometer (KM) 3 Jalan Temerloh - Mentakab dekat Kampung Gantok di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa, yang juga pekerja am sekolah Saiful Amirul Shah Mohd Idris, 25, dari Taman Bukit Cermin, Mentakab meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, siasatan awal mendapati sebuah kereta Toyota Vios yang dipandu seorang wanita berusia 27 tahun dari arah Mentakab menghala ke bandar Temerloh melalui selekoh Kampung Gantok sebelum terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan kereta terbabit merempuh motosikal Yamaha Ego Solriz yang dibonceng mangsa dari arah Temerloh menghala ke Mentakab.

"Kereta terbabit juga melanggar bahagian belakang sebuah keretaToyota Vios lain yang dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun selepas merempuh motosikal terbabit.

"Akibatnya, pembonceng motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang, Muhammad Idham Zulkifli, 21, cedera parah. Kedua-dua pemandu kereta tidak mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk bedah siasat dan rakannya dihantar ke hospital sama untuk rawatan.

"Siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," jelasnya.

Artikel Berkaitan: