Tidak duga layak ke TM Piala Malaysia

Aksi pemain Kelantan United, Muhamaad Shahrul (kanan) meraikan jaringan gol persamaan bersama rakan sepasukannya pada aksi Liga Premier menentang Selangor 2 di Stadium Sultan Muhammad IV Jumaat lalu. 

Aksi pemain Kelantan United, Muhamaad Shahrul (kanan) meraikan jaringan gol persamaan bersama rakan sepasukannya pada aksi Liga Premier menentang Selangor 2 di Stadium Sultan Muhammad IV Jumaat lalu. 

A
A
A

LAYAK ke saingan TM Piala Malaysia adalah satu yang di luar jangkaan Kelantan United kerana sedar peluang pasukan sangat tipis dan bergantung kepada keputusan pasukan lain, kata ketua jurulatih Nazrulerwan Makmor.

Baginya, kejayaan layak ke saingan TM Piala Malaysia adalah pencapaian terbaik pasukan musim ini dan bertekad mempersiapkan pemain sebaik mungkin untuk bersaing dengan pasukan lebih hebat dalam saingan berprestij itu.

Katanya, buat masa ini, pemain diberikan cuti selama seminggu sebelum kembali menjalani latihan dan membuat persiapan menghadapi perlawanan Piala Malaysia yang dijadualkan bermula pada 25 Oktober ini.

"Kami faham pasukan yang layak ke saingan TM Piala Malaysia mempunyai permainan yang berkualiti, kita cuba tandingi, cuba berdisiplin...dalam bola sepak apa-apa boleh berlaku, kami boleh melakukan kejutan.

"Terus terang saya cakap pasukan kami mempunyai kelemahan di bahagian tengah...pasukan tiada perancang, tiada pemain yang boleh mengemudi bahagian tengah dan ia kelemahan paling ketara," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bagi mengharungi saingan TM Piala Malaysia, Nazrulerwan berkata, beliau ‘menagih' khidmat pemain berpengalaman seperti Daudsu Jamaludin, Shahrizan Ismail, Amirizdwan Taj Tajuddin dan beberapa pemain lain bagi mengimbangi pemain muda dalam pasukan itu.

Pada perlawanan terakhir aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV Jumaat lepas, Kelantan United menewaskan Selangor 2 2-1 hasil jaringan Muhamad Shahrul Hakim Rahim pada minit ke-28 dan Alfusiney Gassama pada minit ke-57 manakala gol lawan dijaringkan Ahmad Danial Ahmad Asri pada minit ke-14.

Kemenangan itu menyaksikan Kelantan United mengatasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC untuk slot TM Piala Malaysia berdasarkan kelebihan jaringan walaupun kedua-dua pasukan berkongsi 12 mata.

Artikel Berkaitan:

Kelantan juga layak ke saingan TM Piala Malaysia selepas mengejutkan Johor Darul Ta’zim (JDT) II dengan kemenangan tipis 1-0 di Stadium Tan Sri Haasan Yunos menerusi jaringan tunggal Muhammad Danial Ashraf Abdullah pada minit ke-28 untuk melonjak ke tempat kelima dengan 15 mata.

Terdahulu, juara Liga Premier, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan pendatang baharu Kuching FA, mengesahkan slot ke saingan berprestij itu yang menyaksikan pasukan simpanan seperti Terengganu FC II, JDT II dan Selangor 2 tidak layak beraksi. - Bernama