X

Kindly register in order to view this article
!

Akademi bola sepak perlu terus bangunkan sukan bola sepak

Hamidin (tiga, kanan) menyerahkan piagam berkenaan kepada Norizam (tiga, kiri). - Foto Facebook FAM
A
A

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berharap supaya akademi bola sepak di negara ini dapat terus melaksanakan tugas terutama bagi membangunkan sukan bola sepak dari peringkat akar umbi.

Hamidin berkata, tugas berkenaan secara keseluruhannya, selaras dengan misi FAM bagi memperluaskan kelompok pemain muda di negara ini menerusi bimbingan yang betul dari peringkat awal usia masing-masing.

Beliau turut percaya, kelompok pemain muda berkenaan bakal muncul selaku peneraju bola sepak negara pada masa akan datang.

"Kita percaya ada kelompok kanak-kanak yang gembira menyepak bola hari ini bakal menjadi peneraju bola sepak akan datang.

“Justeru, saya sangat berharap supaya akademi yang tumbuh ibarat cendawan ini terus melaksanakan tugas membangunkan bola sepak di peringkat akar umbi," katanya melakukan kunjungan mengejut ke Akademi Kiddo Kickers Soccer Melaka semalam.

Difahamkan, akademi itu adalah pusat latihan kemahiran bola sepak kanak-kanak seawal usia 4 tahun melibatkan lelaki dan perempuan di Stadium Tun Fatimah.

Kunjungan Hamidin bersama Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, Stuart Ramalingam (Setiausaha Agung) serta barisan exco FAM itu turut disambut 80 kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun dari akademi berkenaan.

Pada kunjungan berkenaan, Hamidin turut menyampaikan Anugerah Ahli Gangsa Piagam SupaRimau FAM kepada akademi berkenaan yang diterajui oleh bekas pemain Melaka yang juga bekas penyerang remaja kebangsaan, Norizam Ali Hassan.

Piagam SupaRimau FAM adalah pentauliahan mengikut tiga tahap berbeza iaitu Ahli Emas (penanda aras), Ahli Perak (maju) dan Ahli Gangsa.

Sementara itu Hamidin berharap semua pihak melibatkan pelatih, jurulatih termasuk ibu bapa di peringkat komuniti akan menyokong segala kerja keras serta usaha dilakukan untuk membangunkan akademi bola sepak berkenanan terutama dari peringkat akar umbi.

"Sebenarnya, saya berkongsi semangat dan keseronokan anak-anak ini, sebagaimana saya terkenang zaman saya bermain ketika kecil dahulu.

“Lawatan ini secara kebetulan selepas menonton perlawanan Liga Super malam tadi. Saya berkongsi semangat dan keseronokan anak-anak ini, sebagaimana saya kenang zaman saya bermain ketika kecil.

"Tahniah kepaa semua pihak atas kerja keras yang dilakukan khususnya dalam membangunkan bola sepak dari peringkat awal usia," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!