JPA kenal pasti 841 penempatan untuk pekerja JLKN

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengenal pasti 841 penempatan untuk ditawarkan kepada pekerja Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) selepas Tahun Baharu Cina, menurut Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

KBS dalam kenyataan hari ini berkata perkara itu dimaklumkan dalam pertemuan Timbalan Menterinya Steven Sim Chee Keong bersama wakil Jawatankuasa Bekas Pelatih JLKN dan JPA berhubung perkembangan terkini inisiatif 'soft landing' bagi pekerja kontrak JLKN terbabit.

Bagi pemohon yang lain, KBS berkata pihak JPA sedang melaksanakan ‘segala yang termampu’ bagi membantu mereka untuk mengisi jawatan kosong di kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan.

"Walau bagaimanapun, tawaran kontrak akan diberikan mengikut kesesuaian dan kemahiran pemohon dan bergantung kepada kekosongan jawatan yang akan diisi," kata KBS.

KBS berharap pemohon dapat memberi ruang agar proses penempatan semula itu dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan memandangkan ia pertama kali dilaksanakan.

Sebelum ini, KBS dilaporkan berkata nasib 2,100 kakitangan kontrak Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tetap terbela meskipun Kabinet telah memutuskan untuk memansuhkan program itu sejak Ogos 2018. - Bernama

Artikel Berkaitan: