Parti liar di banglo diserbu, 42 dikompaun

42 individu dikompaun kerana tidak mematuhi SOP ketika menyertai 'private party' di sebuah homestay malam tadi.
42 individu dikompaun kerana tidak mematuhi SOP ketika menyertai 'private party' di sebuah homestay malam tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai 42 individu dikompaun RM1,000 seorang selepas polis menyerbu parti liar di sebuah banglo di Sungai Emas, Batu Feringgi malam tadi.

Seramai 34 lelaki dan lapan wanita berusia lingkungan 20 hingga 40-an itu dikompaun kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam operasi yang bermula jam kira-kira 10 malam

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, peserta parti itu mengakui sedang menyambut hari lahir salah seorang daripada mereka di banglo yang dijadikan inap desa itu.

"Ujian saringan awal dilakukan dan tiga lelaki serta seorang wanita dipercayai positif dadah jenis syabu, malah 1.4 gram dadah disyaki ketamin ditemui ketika pemeriksaan dibuat.

"Semakan yang turut dilakukan mendapati 17 daripada 42 individu itu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua mereka dikompaun mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

76 pelanggan sebuah pusat hiburan turut dikompaun kerana melanggar SOP PKPP.
76 pelanggan sebuah pusat hiburan turut dikompaun kerana melanggar SOP PKPP.

"Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) turut mengeluarkan kompaun terhadap pemilik rumah kerana menjalankan perniagaan inap desa tanpa lesen," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebuah lagi inap desa di kawasan sama dihuni 15 individu turut diperiksa dalam operasi bersepadu bersama penguat kuasa MBPP dan kesihatan daerah.

"Bagaimanapun kesemua mereka didapati mematuhi SOP, namun pemilik rumah itu dikompaun kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

"Selain itu, enam buah premis perniagaan diperiksa dan empat peniaga dikompaun kerana tidak mematuhi SOP kebersihan," katanya.

Soffian berkata, dalam operasi berlainan, 76 pelanggan pusat hiburan yang berada di dalam sebuah pasar raya di Jalan Dr Lim Chwee Leong turut dikompaun.

"Selain pelanggan, kita turut menahan seorang penjaga pusat hiburan tersebut kerana tiada lesen hiburan awam yang sah yang dikeluarkan MBPP. Pelbagai peralatan muzik dan wang tunai turut dirampas.

"Kita akan terus menjalankan operasi bersama agensi lain secara berterusan untuk mengekang mereka yang melanggar SOP. Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai mana-mana pihak yang melanggar SOP, boleh menyalurkannya kepada polis," katanya.