Tiada latihan khusus untuk Da Sylva

Dominique da Sylva
Dominique da Sylva
A
A
A

KETUA Jurulatih Terengganu FC I (TFC I), Nafuzi Zain menegaskan pihaknya tidak melakukan sebarang latihan khusus bagi penyerang import, Dominique Da Sylva dalam usaha memastikan penyerang itu memenangi Anugerah Kasut Emas musim ini.

Nafuzi berkata, latihan yang dilalui oleh Da Sylva adalah latihan yang sama seperti yang dilalui oleh pemain-pemain lain khususnya pemain yang beraksi di posisi serangan skuad Penyu itu.

Malah menurut Nafuzi jumlah lapan gol yang dilakukan oleh penyerang kelahiran Mauritus itu setakat ini adalah hasil kerjasama rakan sepasukannya selama ini.

“Kita tak ada buat apa-apa latihan yang khusus untuk Da Sylva kerana sebagai seorang penyerang dia pasti tahu tanggungjawabnya iaitu untuk menjaringkan gol.

“Sebenarnya semua gol yang terhasil daripada bantuan rakan-rakan sepasukan dan juga dirinya sendiri untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai penyerang pasukan ini.

“Contohnya dalam latihan untuk pemain penyerang biasanya kita akan adakan latihan ‘drilling,’ ‘shooting’ untuk memantapkan lagi prestasi mereka terutamanya ketika berada di depan gol lawan,” katanya kepada Sinar Ahad.

Untuk rekod setakat ini Da Sylva sekadar menjaringkan lapan gol berbanding pencabar di tempat kedua penyerang Selangor, Ifedayo Olusegun dengan 9 gol (setakat berita ini ditulis) dan penyerang Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi dengan 10 gol.

Biarpun ketinggalan dua gol, Da Sylva masih berpeluang meledak lebih banyak gol pada aksi terakhir CIMB Liga Super berdepan Pahang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Nafuzi menyifatkan Da Sylva bakal berdepan cabaran getir untuk melepasi benteng pertahanan Pahang dikemudi dua bek kental, Harold Guluon dan Muslim Ahmad.

Malah katanya, kedua-dua pemain pertahanan berkenaan dilihat sebagai antara gandingan pertahanan terbaik dalam saingan Liga-M ketika ini.

“Saya berharap agar Da Sylva dapat memberikan aksi terbaiknya dan berjaya melepasi kekangan benteng pertahanan lawan untuk menjaringkan lebih banyak gol pada perlawanan terakhir itu nanti.

"Saya rasa ia tidak mustahil dilakukan kerana dia pernah melakukannya sebelum ini apabila menjaringkan empat gol pada perlawanan menentang Kedah di sini (Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin), 7 Mac lalu.

“Bagaimanapun saya harap dia dan juga semua pemain akan memberikan fokus untuk memastikan kejayaan pasukan dahulu, dan kemudian barulah cuba merealisasikan sasaran peribadi,” katanya.