Harimau Malaya sentiasa bersedia

Tan Cheng Hoe
Tan Cheng Hoe
A
A
A

KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, pemain-pemainnya bersedia untuk mengharungi aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang berkemungkinan dijalankan secara karnival.

Menurut jurulatih berusia 52 tahun itu berkata, beraksi secara karnival tidak banyak berbeza berbanding beraksi secara biasa kerana perlawanan akan tetap berlangsung tanpa kehadiran penonton.

“Sebenarnya saya pun belum dapat (terima) apa-apa arahan lagi dan kalau main karnival pun kita kena terima kerana tiga game (perlawanan) terakhir itu adalah perlawanan paling penting untuk kita. Oleh itu, apa juga keputusan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kita akan ikut, takkan kita tak mahu ikut?

“Kalau kerajaan tak benarkan penyokong pun tak banyak beza kalau main home, away atau karnival, yang penting persediaan pasukan dan pemain kena sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan yang akan berlaku,” katanya kepada Sinar Ahad semalam.

Terdahulu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin memaklumkan skuad Harimau Malaya kendalian Cheng Hoe, berkemungkinan akan bermain secara karnival bagi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Menurut Hamidin, aksi itu dijangka berlangsung pada Mac dan Mei tahun depan di negara yang dibenarkan seperti di Qatar atau mana-mana negara Emiriah Arab Bersatu (UAE), sekiranya situasi penularan Covid-19 itu berterusan.

Skuad Harimau Malaya sepatutnya mengharungi aksi timbal balik pusingan kedua Kumpulan G berdepan UAE di Stadium Al Maktoum, Dubai pada 8 Oktober sebelum melayan kunjungan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13 Oktober dan mengakhiri kempen kelayakan berdepan Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 17 November.

Malah Harimau Malaya turut dilihat berpeluang untuk mara ke pusingan ketiga berdasarkan kepada kedudukan terkini pasukan yang berada pada tangga kedua kumpulan dengan sembilan mata hasil tiga kemenangan dan dua kekalahan daripada lima perlawanan setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Cheng Hoe yang baru sahaja menerima lanjutan kontrak daripada FAM bagi mengemudi skuad Harimau Malaya berkata, dia bakal berdepan tugas sukar untuk merealisasikan misi untuk layak ke saingan Piala Asia 2023 kelak setelah hampir setahun kesebelasan pemain tidak beraksi langsung dalam mana-mana kejohanan.

“Tetapi saya tak boleh bagi alasan kerana sasaran kita adalah untuk layak ke Piala Asia 2023 nanti. Oleh itu, dalam perancangan kita memang kita akan panggil pemain untuk berkumpul bersama selepas tamat Piala Malaysia nanti,” katanya.