Hadiah istimewa buat penyokong Harimau Kumbang

Pemain Pulau Pinang meraikan kejayaan selepas dinobatkan juara Liga Premier 2020 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam kelmarin.
Pemain Pulau Pinang meraikan kejayaan selepas dinobatkan juara Liga Premier 2020 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam kelmarin.
A
A
A

KETUA Jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abdul Wahid menyifatkan kejayaan merangkul trofi Liga Premier selain layak beraksi dalam saingan Liga Super musim depan sebagai hadiah istimewa buat para penyokong setia Harimau Kumbang itu.

Menurut Manzoor Azwira, doa serta semangat daripada penyokong yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan padu kepada pasukan antara faktor penting membantu kejayaan skuad Haria Penang Haria itu kali ini.

“Ini hadiah buat penyokong-penyokong Pulau Pinang kerana doa dan semangat merekalah yang menyuntik keazaman tinggi dalam kalangan pemain-pemain Harimau Kumbang untuk merangkul kejayaan berganda musim ini.

“Sokongan padu yang berterusan dalam kalangan penyokong-penyokong Haria Penang Haria inilah yang membarakan lagi semangat kesebelasan pemain untuk memberikan aksi terbaik dalam saingan liga yang mencabar musim ini berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

“Lebih membanggakan adalah prestasi pasukan yang dilihat sangat baik pada musim ini kerana kita berjaya mengesahkan layak ke Liga Super musim depan tanpa perlu menunggu hingga ke perlawanan terakhir,” katanya kepada Sinar Ahad semalam.

Pulau Pinang menamatkan saingan Liga Premier dengan mengumpul 26 mata hasil lapan kemenangan seri dua kali dan tewas sekali daripada 11 perlawanan setakat ini.

Mengulas mengenai kekalahan 0-1 kepada Terengganu FC II (TFC II) pada aksi terakhir liga di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin, Manzoor Azwira berkata, ia tidak memberikan kesan terhadap pasukan.

Katanya, objektif ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (PFA) telah pun dicapai dan aksi terakhir berdepan TFC II hanya sebagai aksi pelengkap jadual selain cuba mengekalkan rekod tanpa kalah pasukan.

Artikel Berkaitan:

“Kejayaan ini sebenarnya untuk rekod kita di sepanjang saingan Liga Premier. Walaupun gagal mempertahankan rekod tanpa kalah, tetapi objektif pasukan untuk layak ke Liga Super telah pun berjaya dilaksanakan.

“Malah, ini ditambah kejayaan muncul juara Liga Premier yang disifatkan sebagai bonus buat pasukan,” katanya.