Covid-19: Doktor perlu jaga kesihatan mental

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hari Doktor Malaysia buat julung kalinya disambut secara maya oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) memberikan ruang kepada doktor tempatan berbincang serta berkongsi pendapat mengenai bidang penjagaan kesihatan yang perlu diketengahkan terutama ketika negara berdepan pandemik koronavirus (Covid-19).

Pengarah dan Perunding Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Norhayati Nordin percaya perkara tersebut turut menyebabkan tekanan emosi dan isu kesihatan mental lain ketika Malaysia serta negara-negara lain di dunia memerangi penularan pandemik itu.

Beliau berkata, memandangkan 10 Oktober telah didedikasikan sebagai Hari Kesihatan Mental Sedunia, pada doktor adalah tidak terkecuali, justeru, mereka perlu mengutamakan keadaan mental mereka.

“Ia (Covid-19) menyebabkan tahap isolasi meningkat dan kegelisahan. Kehilangan pekerjaan telah menyebabkan tekanan emosi dan kita, para doktor tidak terkecuali. Kebanyakan kita adalah terkesan sama ada kita menyedarinya ataupun tidak.

“Jika kita membaca laporan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia), pada 2018, setiap 47 saat seseorang meninggal dunia akibat bunuh diri. Jadi dengan penularan pandemik Covid-19 ini, kita perlu memastikan bahawa kesihatan mental diutamakan lebih daripada biasa,” katanya sambil menambah bahawa pelaburan dalam kesihatan mental adalah perlu.

Terdahulu, perbincangan dianjurkan MMA dengan kerjasama Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (Schomos) serta Bahagian Pengamal Perubatan Swasta (PPS) MMA itu sempena sambutan Hari Doktor hari ini menerusi Zoom dan penstriman langsung Facebook yang dirasmikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Sementara itu, Dr Adham berkata, doktor bertungkus-lumus berusaha demi kesejahteraaan pesakit dan kementerian amat berterima kasih kepada semua petugas barisan hadapan atas usaha yang tidak mengenal penat-lelah dalam memerangi penularan Covid-19.

“Sambutan Hari Doktor adalah untuk menghargai semua doktor di Malaysia yang menjadikan kehidupan rakyat lebih baik dan menerima rawatan.

Artikel Berkaitan:

"Terima kasih, doktor. Anda menjadikan Malaysia sebuah tempat yang lebih baik. Bersama-sama kita boleh melakukan perubahan dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang selamat,” katanya. - Bernama