X

Kindly register in order to view this article
!

Pencapaian, cabaran PBB

A
A

TAHUN ini Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyambut ulang tahun ke-75. PBB ditubuhkan pada tahun 1945 selepas tamatnya Perang Dunia Kedua. Matlamat penubuhannya adalah untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa, mewujudkan hubungan persahabatan dalam kalangan negara-negara anggota, memupuk kerjasama antarabangsa dalam ekonomi, sosial, kebudayaan dan saling membantu untuk mengatasi masalah bersama.

Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menyampaikan perutusan tahunan pada Perhimpunan Agung PBB ke-75 berkata, PBB kekal sebagai satu-satunya institusi global di mana seluruh dunia boleh menuntut hak milik. Beliau menyedari bahawa PBB dalam tempoh 75 tahun telah berjaya dalam mempromosi pembangunan sosial dan ekonomi, namun pada masa sama mengakui PBB gagal dalam aspek keselamatan bagi menghindari peperangan.

Menurut Muhyiddin, masih ramai yang menderita akibat konflik yang berlaku di pelbagai tempat di dunia dan PBB mesti berusaha memperbaiki aspek itu. Beliau menegaskan, untuk berbuat demikian PBB perlu reformasi.

Walaupun PBB kini berusia 75 tahun tetapi ia masih relevan dan diperlukan lebih daripada sebelumnya. Berdasarkan survei, PBB masih memperoleh penerimaan yang tinggi dan sangat baik.

Secara keseluruhan, lebih 60 peratus memihak kepada PBB dan di negara-negara tertentu, kadar penerimaan lebih tinggi daripada 80 peratus.

PBB perlu dilengkapi dengan lebih baik – bukan hanya dalam bidang politik tetapi dengan sokongan berterusan daripada negara anggota untuk menghadapi masalah dunia yang nyata.

Dalam tempoh 75 tahun, PBB telah mencapai beberapa kejayaan. Pasukan pengaman PBB berjaya melakukan operasi di banyak negara termasuk Kemboja, Namibia dan Timor Leste. Melalui intervensi kemanusiaan, PBB telah menyelamatkan berjuta-juta manusia daripada kematian akibat kebuluran dan konflik. Program pembangunan jangka panjang melalui agensinya seperti Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah meningkatkan taraf kehidupan secara mendadak serta berjaya meningkatkan jangka hayat ramai penduduk di negara-negara membangun. Agensi-agensi PBB telah menyediakan peluang pendidikan dan akses kepada kesihatan, mengurangkan bilangan mortaliti kanak-kanak serta kemiskinan yang melampau.

Kelemahan

Namun, PBB tetap mempunyai kelemahan dan cabaran, antaranya kegagalan menyelesaikan konflik Arab-Isreal. Walaupun PBB telah mengeluarkan beberapa resolusi, Israel masih menduduki Palestin sehingga hari ini. Selain itu, ada operasi pengaman yang telah gagal dan mengorbankan ramai nyawa tentera pengaman PBB, misalnya di Somalia. PBB juga tidak bebas daripada menjadi medan percaturan politik kuasa-kuasa besar.

Lima negara Anggota Tetap Majlis Keselamatan PBB iaitu Amerika Syarikat (AS), Rusia, China, Perancis dan Britain mempunyai kuasa veto atau membatal. Malangnya sepanjang tempoh 75 tahun lalu, lima negara itu sering menggunakan kuasa veto untuk membatalkan sebarang usul demi kepentingan mereka.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan telah menggesa PBB lebih bersifat demokratik supaya masa depan organisasi antarabangsa yang dianggotai 193 buah negara tidak ditentukan oleh lima negara sahaja.

Cabaran seterusnya adalah isu kewangan. Pada Oktober 2019, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres merayu agar negara-negara anggota menjelaskan yuran keahlian yang tertunggak. Masalah semakin kritikal sehingga PBB berisiko tidak mampu membayar kakitangannya.

Pandemik koronavirus (Covid-19) telah mendedahkan kelemahan PBB, khasnya peranan WHO. Seperti kebanyakan agensi PBB, WHO mempunyai peranan untuk menetapkan garis panduan tetapi tidak memiliki kekuatan untuk menguatkuasakannya. WHO mampu untuk memohon kerjasama negara anggota dalam penyelidikan ilmiah tetapi tidak memiliki kemampuan pelaksanaan. Ketika berusaha mengatasi Covid-19, Amerika Syarikat (AS) telah menuduh WHO tidak bersikap tegas terhadap China, lambat bertindak dan mengeluarkan kenyatan bertentangan. PBB masih tidak bersedia menangani krisis Covid-19.

Sempena ulang tahun ke-75 PBB, masyarakat antarabangsa harus renungi bagaimana untuk mengatasi cabaran-cabaran yang sedang dihadapi PBB tanpa mengira politik supaya ia terus memberi manfaat kepada semua bangsa.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!