X

Kindly register in order to view this article
!

Hampir 500 petugas kesihatan ke Sabah

Seramai 475 petugas perubatan dan kesihatan awam pelbagai kategori serta skim perkhidmatan digerakkan ke beberapa daerah di Sabah setakat hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 475 petugas perubatan dan kesihatan awam pelbagai kategori serta skim perkhidmatan digerakkan ke beberapa daerah di Sabah setakat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian kesihatan (KKM) menggerakkan pasukan bantuan itu ke Tawau, Lahad Datu, Semporna serta Kota Kinabalu bagi membantu menangani penularan pandemik Covid-19 dan mobilisasi pasukan itu dilakukan sejak awal peningkatan kes di sana.

Dr Noor Hisham berkata, penilaian keperluan sumber manusia akan terus dilakukan bagi membantu mengawal situasi penularan jangkitan Covid-19 di Sabah selain untuk memastikan kelangsungan perkhidmatan kesihatan di sana.

“Kebajikan semua anggota kesihatan dan perubatan akan terus diutamakan bagi memastikan mereka selaku aset utama KKM dapat menjalankan tugasan mereka dengan baik.

“Terima kasih diucapkan kepada semua anggota kesihatan dan perubatan serta semua sukarelawan yang telah sama-sama membantu memerangi Covid-19 di Malaysia setakat ini,” katanya pada sidang akhbar secara maya yang disiarkan di Facebook KKM hari ini.

Dr Noor Hisham turut menyeru lebih ramai sukarelawan perubatan dan kesihatan melibatkan diri untuk membantu KKM dalam menangani gelombang ketiga Covid-19.

Mengenai rancangan kerajaan untuk mengaktifkan Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia di Tawau bagi melaksanakan bantuan sokongan dalam merawat kes selain Covid-19, beliau berkata, hospital itu akan menyediakan perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi, Pediatrik serta Pembedahan Am.

“Ini akan memberi lebih banyak ruang kepada Hospital Tawau untuk merawat kes yang memerlukan penjagaan rapi (kategori 3-5) termasuk yang dirujuk dari daerah berdekatan, khususnya Semporna.

“Kes yang tidak mempunyai gejala atau gejala ringan (kategori 1 dan 2) akan terus ditempatkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC),” katanya.

Beliau berkata, perancangan awal KKM bakal menyaksikan 100 katil ditempatkan di hospital itu manakala kapasiti serta keperluan kemudahan lain akan dinilai dari masa ke masa. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!