Kenangan menemu ramah Tunku

Chamil (kiri) sewaktu mewawancara Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia yang pertama, di kediaman beliau di Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada tahun 1973.
Chamil (kiri) sewaktu mewawancara Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia yang pertama, di kediaman beliau di Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada tahun 1973.
A
A
A

SEBAGAI pemberita akhbar Utusan Malaysia di mana saya mula bekerja pada pertengahan tahun 1971, saya mendapat kesempatan berinteraksi dengan pelbagai golongan masyarakat – rakyat biasa dan pemimpin.

Pada 1973, saya berpeluang menemu ramah Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj yang baru sahaja menamatkan perkhidmatannya sebagai Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Beliau merupakan Setiausaha Agung pertama pertubuhan yang beribu pejabat di Jeddah, Arab Saudi itu.

Dalam temu ramah tersebut saya bertanya Tunku Abdul Rahman, apakah kelayakan yang telah membolehkan beliau memegang jawatan itu?

Beliau memberitahu bahawa setelah tidak lagi menjadi Perdana Menteri Malaysia, Al-Malek Faisal, Raja Arab Saudi, telah menawarkannya jawatan tersebut.

Mungkin juga Malaysia sebagai anggota pengasas OIC turut mencalonkan beliau untuk menyandang jawatan itu.

Cerita Tunku: “Saya sendiri pun tidak sangka. Al Malek Faisal yang menawarkan jawatan tersebut kepada saya. Saya sendiri bertanya baginda, sesuaikah saya untuk menyandang jawatan yang tinggi dalam OIC yang baharu ditubuhkan itu.

“Raja Saudi itu bertanya: Mengapa tidak? Anda pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia. Banyak pengalaman menguruskan negara.

Artikel Berkaitan:

“Saya beritahu baginda bahawa di negara sendiri orang tidaklah menganggap diri saya sebagai alim sangat. Macam-macam cerita tidak baik dilemparkan terhadap saya.

“Mendengar jawapan itu, Al-Malek Faisal beritahu saya bahawa baginda bukan melantik saya sebagai Imam Besar Masjidil Haram, tetapi sebagai ketua pentadbir OIC.

“Saya beritahu baginda, saya akur. Kalau begitu saya terimalah.”

Saya juga bertanya Tunku Abdul Rahman, apakah perbezaan yang beliau alami setelah tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

Beliau menjawab: “Semasa menjadi Perdana Menteri, saya ni macam gula. Banyak orang mengelilingi saya. Minta itu ini.

“Selepas tak jadi Perdana Menteri, semuanya lari. Bukan semualah. Adalah beberapa orang yang masih bersama saya. Macam Yusof Suria ni.

“Ada juga yang memusuhi saya dan pemimpin lain yang rapat dengan saya kerana kepentingan politik. Kami dianggap order lama. Yang menggantikan saya pula order baharu.”

Peluang

Tunku merupakan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dari 1955, dan Perdana Menteri pertama sejak kemerdekaan pada tahun 1957 sehingga 1970.

Yusof Suria yang dimaksudkan oleh Tunku Abdul Rahman ialah orang yang mengatur temu ramah saya dengan mantan Perdana Menteri itu.

Saya memanggilnya Pak Yusof. Beliau kemudian mendapat gelaran Datuk daripada sebuah kerajaan negeri.

Beliau orang Kedah dan merupakan pemilik sebuah restoran masakan ala kampung di kawasan Chow Kit di ibu negara. Beliau memang rapat dengan Tunku.

Saya pula kebetulan sering makan di restorannya yang terletak berhampiran dengan stesen bas untuk saya berulang alik dari tempat kerja ke Taman Keramat di mana saya menginap.

Apabila Pak Yusof tahu saya seorang pemberita, beliau bertanya sama ada saya ingin menemu ramah Tunku Abdul Rahman.

Tentulah saya berkata mahu. Siapa ingin melepaskan peluang bertemu dengan Perdana Menteri pertama negara itu.

Kemudiannya, melalui Pak Yusof, saya juga mendengar cerita-cerita lain mengenai Tunku Abdul Rahman.

Mengikut beliau, Tunku Abdul Rahman bukanlah seorang pemimpin yang mengumpul kekayaan semasa menjadi Perdana Menteri.

Menurut beliau, pernah satu hari Tunku Abdul Rahman mengeluh kerana wang dalam akaun banknya kekeringan. Tetapi beliau telah mengeluarkan cek.

Tanpa pengetahuan Tunku, Pak Yusof terus menghubungi seseorang yang rapat dengan Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun yang ketika itu Ketua Menteri Sabah, dan menceritakan kesempitan kewangan Tunku kepada beliau.

Ketika itu, Tun Mustapha berada di Beirut, Lubnan.

Melalui Pak Yusof, orang yang rapat dengan Tun Mustapha berjanji untuk mengkreditkan duit ke akaun Tunku.

Beberapa hari kemudian apabila Pak Yusof bertemu Tunku, Tunku memberitahunya: “Baik betul Tun Mustapha ni. Dia tahu saya tak cukup duit, dia masukkan ke dalam akaun saya RM50,000.”

Yusof hanya berkata “Oh ye ke Tunku. Alhamdulillah.”

Apabila saya menceritakan mengenai kesempitan kewangan Tunku Abdul Rahman yang diceritakan oleh Pak Yusof itu kepada Datuk Seri Wong Chun Wai, ketika itu Ketua Pengarang Kumpulan akhbar The Star beberapa tahun kemudian sewaktu kami bersembang mengenai Perdana Menteri pertama itu, Wong percaya apa yang dinyatakan itu adalah benar.

Lucu

Beliau kemudian menceritakan pula bagaimana Star Publications ketika itu membeli kediaman kurniaan kerajaan milik Tunku Abdul Rahman di No. 1 Bukit Tunku yang ingin beliau jual atas alasan kesempitan wang, pada harga yang mengatasi harga pasaran.

“Ini dilakukan sebagai membalas jasa Tunku yang pernah menjadi Pengerusi The Star, selain menjadi kolumnis yang menjadikan akhbar The Star dibaca oleh ramai elit dalam masyarakat,” kata Wong yang kemudiannya menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Star Media Group.

Nak dijadikan cerita, saya dan Pak Yusof menjadi makin rapat apabila akhbar Suara Rakyat yang saya sertai pada 1975 beroperasi di sebuah premis pejabat betul-betul terletak bersebelahan dengan restoran milik beliau di kawasan Chow Kit.

Banyaklah cerita-cerita lucu atau anekdot off the record mengenai Tunku Abdul Rahman dan pemimpin yang rapat dengan Perdana Menteri pertama yang diceritakan oleh beliau kepada saya.

Tidak sesuai untuk saya coretkan kepada umum rasanya. Biarlah cerita-cerita itu kekal off the record.

*Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI)