Berniaga ketika ekonomi sukar

No Image Caption
A
A
A

EKONOMI adalah pemasaran. Tanpa pemasaran, ekonomi tidak dapat dijana. Pemasaran ertinya menjual dan membeli. Kita tidak boleh berniaga tanpa berjual beli.

Di dunia, ada negara dengan kerajaannya berniaga dan ada negara yang kerajaan diharamkan oleh Perlembagaan daripada terlibat dalam perniagaan. Ada negara mengamalkan dasar pasaran terbuka dan bebas yang disebut laissez-faire, ada yang mengawal ekonomi sepenuhnya dan ada yang mengamalkan dasar pasaran campuran.

Sebab itulah, di Malaysia, ada perniagaan yang dimiliki oleh swasta, kerajaan atau perkongsian antara kerajaan dan swasta. Namun, perniagaan milik kerajaan sangat kecil berbanding dimiliki swasta.

Dalam kalangan majoriti orang Melayu, mereka menganggap perniagaan kerajaan, sama ada yang dijalankan oleh Tabung Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) atau Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLIC), adalah khusus untuk mereka.

Ya dan tidak. Ada GLIC yang khusus untuk bumiputera seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB). Itu pun ada juga skim saham amanah tajaan PNB yang dibuka kepada semua kaum.

Kita ada Tabung Haji (TH) yang dibuka kepada semua warganegara beragama Islam tanpa mengira bangsa. Lembaga Tabung Angkatan Tentera untuk semua anggota tentera tanpa mengira bangsa dan agama. Kumpulan Wang Simpa-nan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Berhad adalah untuk semua bangsa

Dalam usaha mendapatkan sokongan orang Melayu dan bumiputera bagi tujuan politik, ahli politik Melayu menguar-uarkan seolah-olah semua GLIC dan GLC adalah milik eksklusif bumiputera.

Maka, tidak hairanlah se-tiap kali berlaku penjualan, pembelian atau penggabungan yang melibatkan syarikat milik GLIC, tercetus polemik yang hangat, emosional dan tidak kurang mengelirukan.

Artikel Berkaitan:

Apatah lagi, kini dengan adanya media sosial di mana semua orang – cerdik, super cerdik, bodoh dan super bodoh akan berbahas dengan penuh emosi serta keghairahan.

Perbahasan hangat sekarang adalah mengenai cada-ngan Khazanah menggabungkan syarikat hartanah miliknya, UEM Sunrise Berhad dengan syarikat swasta, Eco World Development Group Berhad.

Yang menjadi punca kebimbangan dan penentangan penggabungan itu adalah ancaman terhadap kepentingan bumiputera dan kononnya Khazanah menyelamatkan syarikat bukan bumiputera.

Mereka bimbang walaupun penggabungan itu akan melahirkan sebuah syarikat hartanah yang besar tetapi pegangan bumiputera, khususnya melalui Khazanah, akan berkurangan.

Hakikatnya, Khazanah dan beberapa GLIC lain telah lama berniaga dengan Eco World, dengan memiliki saham-sahamnya dan syarikat itu mempunyai pemegang saham bumiputera yang agak besar.

Bagi saya, terpulanglah kepada syarikat yang terlibat untuk meyakinkan pihak yang berkepentingan (stakeholders) mengenai kewajaran rancangan mereka dan mengambil tanggungjawab ke atas apa yang mereka lakukan.

Dalam keadaan ekonomi yang genting akibat koronavirus (Covid-19), boleh dikatakan semua syarikat dan perniagaan perlu membuat penyesuaian serta mengatur semula portfolio pelaburan masing-masing.

Kebimbangan saya lebih kepada kemampuan GLIC dan GLC menjana keuntungan untuk membayar dividen serta hibah yang berpatutan kepada pemegang saham dan pelabur.

Wallahuaklam.

*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara