PH biar DAP corakkan Yadim

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelantikan Adun Paloh dari DAP, Sheikh Omar Ali sebagai ahli lembaga Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) memperlihatkan PH akan membiarkan yayasan tersebut dicorakkan oleh DAP.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, penstrukturan baharu itu juga akan mambawa badan amanah itu menyimpang jauh dari matlamat asal penubuhannya pada 1974.

“Pas meragui tujuan penubuhan Yadim untuk menyelaraskan kegiatan badan-badan dakwah serta NGO (pertubuhan bukan kerajaan) berteraskan Islam akan dapat dicapai. Sebaliknya Yadim akan berubah menjadi entiti untuk kepentingan politik PH.

“Ini dapat dilihat daripada komposisi ahli-ahli Lembaga yayasan itu sekarang yang dibarisi sebahagian besarnya dalam kalangan pimpinan parti-parti PH termasuk dari DAP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu turut membidas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mendakwa pelantikan Sheikh Omar sesuai kerana beliau memiliki ijazah dalam bidang Usuluddin.

“Kenyataan beliau amatlah dangkal kerana sebagai seorang ahli DAP apatah lagi Adun DAP, beliau adalah terikat kepada dasar-dasar DAP bukannya kepada ilmu yang dipelajarinya.

“Pas merasakan ramai lagi tokoh-tokoh agamawan yang lebih berwibawa dari segi ilmu dan mendapat keyakinan umat Islam berbanding beliau, walaupun bukan keturunan ‘Sheikh’, boleh dilantik menduduki Lembaga Yadim,” tegasnya.

Justeru, Pas menggesa kerajaan mengkaji semula struktur keanggotaan Yadim.

Artikel Berkaitan:

“Ini demi memastikan Yadim tidak lari dari matlamat asal penubuhannya terutama visinya iaitu menerajui urusan dakwah berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah,” katanya.

Semalam, Mujahid menegaskan pelantikan Adun Paloh dari DAP, Sheikh Omar sebagai ahli lembaga pemegang amanah Yadim tidak seharusnya menjadi pertikaian.

Menurut Mujahid, Sheikh Omar dilantik berdasarkan merit dan kelayakannya dalam bidang agama.

Katanya, Yadim sebelum ini sudah membuat pelantikan awal, namun masih terdapat satu kekosongan yang perlu diisi.