Iran muncul 'kuasa baharu' di Palestin

Para penduduk Palestin menghadapi pendudukan tentera rejim Zionis sejak negara Israel ditubuhkan pada tahun 1948. - Foto AFP
Para penduduk Palestin menghadapi pendudukan tentera rejim Zionis sejak negara Israel ditubuhkan pada tahun 1948. - Foto AFP
A
A
A

PENGARUH Iran menjadi semakin dominan sejak Gaza ditadbir oleh Pergerakan Hamas pada tahun 2006 melalui kemenangan dalam pilihan raya perundangan Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang menyebabkan ia turut menguasai Tebing Barat.

Kemenangan itu membolehkan pemimpin pergerakan itu, Ismail Haniyeh menjadi Perdana Menteri tetapi jawatan Presiden PA masih dipegang oleh pemimpin parti Fatah, Mahmoud Abbas yang dipilih oleh Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) bagi menggantikan Yasser Arafat yang meninggal dunia pada tahun 2004.

Bagaimanapun, selepas Iran menjadi Republik Islam pada tahun 1979 dan kematian Arafat serta pengunduran rejim Zionis dari Gaza pada tahun 2005, negara itu mula mengorak langkah memberikan lebih banyak bantuan kepada pergerakan Hamas yang ditubuhkan pada tahun 1987 dengan sasaran untuk menghapuskan negara Israel dan menggantikannya dengan negara Palestin.

Iran yang berfahaman Syiah juga dikatakan telah muncul bagi menyelamatkan Hamas yang mengetuai PA pada tahun 2006 selepas ia tidak lagi menerima bantuan kewangan dari negara Barat dan dikatakan hampir bankrap kerana pergerakan itu enggan menerima perjanjian yang dibuat antara PA dengan Israel sebelum ini.

Namun, Haniyeh yang menjadi Perdana Menteri pada 14 Jun 2006 telah meletakkan jawatan pada 15 Februari 2007 bagi menamatkan perang melibatkan kumpulan-kumpulan pejuang sekali gus membolehkan bantuan disalurkan semula oleh negara-negara Barat yang memboikot Palestin oleh kerana Hamas dianggap sebagai sebagai kumpulan pengganas.

Krisis politik antara Fatah dan Hamas kemudiannya berakhir apabila Hamas dibenarkan mentadbir Gaza secara berasingan dari Tebing Barat yang menempatkan ibu pejabat PLO.

Hamas ialah sebuah pertubuhan politik Islam Palestin dan kumpulan pejuang yang melancarkan perang ke atas Israel sejak pergerakan itu ditubuhkan dengan kebanyakannya adalah melalui serangan roket dan pengeboman.

Pertempuran para pejuang Palestin ke atas Israel menggunakan roket dan belon 'api' yang kerap berlaku di Gaza dikuasai Hamas akhirnya melibatkan campur tangan Qatar dengan menjadi 'perantara' sehingga dikatakan sebagai pro-Iran.

Artikel Berkaitan:

Tentera udara Israel kerap melancarkan serangan ke atas para pejuang Palestin yang didakwa mendapat bantuan Iran di Gaza. - Foto AFP
Tentera udara Israel kerap melancarkan serangan ke atas para pejuang Palestin yang didakwa mendapat bantuan Iran di Gaza. - Foto AFP

Iran pencatur utama Timur Tengah

Namun, gencatan senjata antara rejim Zionis dengan Gaza akhirnya musnah baru-baru ini apabila tentera Israel melancarkan serangan udara ke atas kedudukan kumpulan sayap tentera Hamas, Briged Izz ad-Din al-Qassam di Rafah setelah satu roket dilancarkan ke arah Israel.

Tetapi, Qatar pula diboikot oleh Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Bahrain pada 5 Jun 2017 dengan menyekat laluan udara, daratan, menggantung perdagangan, menutup saluran diplomatik dan ia dikatakan masih belum berakhir lagi.

Alasan Qatar diboikot ialah negara itu didakwa membantu pergerakan pengganas iaitu Ikhwanul MUslimin yang diasaskan oleh seorang guru, Hassan al Banna pada tahun 1928 di Mesir.

Iran juga dikatakan telah membantu para pejuang Palestin sejak perang menentang Israel pada tahun 1967 ketika Shah Iran, Mohammad Reza Pahlavi masih berkuasa dan belum digulingkan dalam Revolusi Islam pada tahun 1979.

Namun, perjuangan penduduk Palestin dianggap penting oleh Iran.

Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei pada tahun 2000 pernah berkata bahawa: 'Sokongan ke atas Palestin merupakan satu kebanggaan bagi rakyat Iran'.

Ia mungkin antara faktor yang menyebabkan Tehran membantu para pejuang Hamas menentang Israel yang ditubuhkan pada tahun 1948 dan mencetuskan konflik di Asia Barat yang masih belum selesai sehingga kini.

Kumpulan-kumpulan pejuang Hamas di Paletin yang bertapak di Gaza dikatakan mendapatkan bantuan daripada Iran. - Foto AFP
Kumpulan-kumpulan pejuang Hamas di Paletin yang bertapak di Gaza dikatakan mendapatkan bantuan daripada Iran. - Foto AFP

Tetapi, bukan negara Qatar sahaja, tetapi juga Jordan, Mesir, Iraq, Arab Saudi dan beberapa negara Arab lain juga pernah menghulurkan bantuan kepada Palestin tetapi seperti kata bekas Pengarah Agensi Perisikan Arab Saudi, Putera Bandar bin Sultan dalam wawancaranya dengan stesen TV Al Arabiya baru-baru ini, para pemimpin Palestin lebih menghormati (peranan) Tehran dan Ankara (Turki) daripada Riyadh, Kuwait, Abu Dhabi, Dubai, Manama, Oman, Muscat serta Kaherah (membantu Palestin).

Bagi menyelesaikan konflik itu, katanya, adalah baik Israel perlu keluar dari tanah Arab yang didudukinya pada tahun 1967 manakala penduduk Palestin pula perlu dibenarkan kembali di wilayah mereka.

Turki juga dilihat kuat menyuarakan isu-isu mengenai Palestin melalui Presidennya, Recep Tayyip Erdogan tetapi salah satu kenyataan yang perlu direnungi oleh para pemimpin Hamas ialah kenapa mereka tidak meminta Erdogan mengusir duta Israel dari Ankara dan memanggil pulang duta Turki dari Tel Aviv? soal Putera Bandar.