X

Kindly register in order to view this article
!

Ujian kedua Covid-19 ke atas 104 pelajar negatif

Sebahagian murid serta ibu bapa SK Kompleks Seberang Takir, Kuala Nerus. Gambar kecil: Status dimuat naik Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
A
A

KUALA NERUS - Keputusan ujian calitan atau 'swab test' kali kedua pandemik koronavirus (Covid-19) ke atas seramai 104 pelajar daripada dua buah sekolah di daerah ini yang dikuarantin sejak minggu lalu adalah negatif.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, saringan mengesan jangkitan Covid-19 yang dijalankan ke atas mereka sehingga kini menunjukkan keputusan negatif.

Beliau berkata, terdapat sebahagian daripada pelajar itu telah dibenarkan pulang dan meneruskan kuarantin wajib selama 14 hari di rumah.

"Keputusan swab test kali kedua sehingga kini mendapati kesemua pelajar yang menjalani ujian Covid-19 adalah negatif.

"Ada di antara pelajar yang telah dibenarkan pulang untuk menjalani kurantin di rumah selama 14 hari," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkongsi keputusan ujian Covid-19 seramai 104 pelajar itu menerusi laman sosial Facebooknya hari ini.

Jelas Mohd Khairuddin, keputusan saringan itu merupakan perkembangan positif dan memohon agar semua pihak dapat mendoakan agar pandemik terserbut dibendung daripada terus merebak.

"Marilah bersama-sama kita mendoakan kesejahteraan dan kesihatan semua yang sedang dikuarantin dan juga semua yang sedang positif," katanya.

Sebelum ini, dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Seberang Takir dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir ditutup susulan beberapa orang muridnya mempunyai kontak rapat dengan seorang kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang disahkan positif Covid-19 pada 3 Oktober lalu.

Kesemua warga sekolah itu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat pesakit Covid-19 dikuarantin di tiga pusat kuarantin di daerah Marang dan Renek, Besut.

SK Kompleks Seberang Takir mempunyai seramai 817 murid dan 63 guru, manakala SMK Kompleks Seberang Takir pula seramai 765 pelajar dan 82 guru.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!