Thailand perketat kawalan sempadan kekang kes import Covid-19

Sempadan darat dan perairan Thailand diperketat bagi menghalang rakyat asing menyusup masuk ke negara itu susulan peningkatan kes Covid-19 di Malaysia dan Myanmar. Gambar hiasan. - Foto AFP
Sempadan darat dan perairan Thailand diperketat bagi menghalang rakyat asing menyusup masuk ke negara itu susulan peningkatan kes Covid-19 di Malaysia dan Myanmar. Gambar hiasan. - Foto AFP
A
A
A

BANGKOK - Thailand kini memperketat kawalan keselamatan di sepanjang kawasan sempadannya dengan Malaysia dan Myanmar bagi mengekang aktiviti rentas sempadan secara haram yang berpotensi mengimport kes koronavirus (Covid-19).

Ketua Turus Batalion ke-4 Tentera Mejar Jeneral Pramote Phrom-in berkata, pihak berkuasa keselamatan memperketat penguatkuasaan di sempadan darat dan perairannya bagi menghalang rakyat asing menyusup masuk ke negara itu susulan peningkatan kes Covid-19 di Malaysia dan Myanmar.

“Peningkatan rondaan pihak berkuasa Thailand dan Malaysia menghasilkan pengurangan ketara dalam jumlah aktiviti rentas sempadan secara haram di sepanjang sempadan Thailand-Malaysia.

“Sejak penularan baharu gelombang kedua Covid-19 (di Malaysia), hanya terdapat beberapa kes aktiviti kemasukan secara haram dilaporkan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya, kira-kira 24,000 rakyat Thailand kembali secara sah dari Malaysia sejak pembukaan semula lima pintu masuk daratnya di wilayah-wilayah selatan negara itu pada 18 April.

Sementara itu, Pramote meluahkan kebimbangannya mengenai aktiviti rentas sempadan secara tidak sah oleh migran yang turut mengelak menjalani ujian saringan Covid-19 dan kuarantin selama 14 hari.

“Kebimbangan kami paling utama kini ialah pekerja migran Myanmar melakukan percubaan untuk menyeberangi sempadan secara tidak sah selepas negara itu melaporkan peningkatan dalam jangkitan Covid-19.

“Pihak berkuasa keselamatan mempergiat rondaan di kawasan sempadan untuk mengekang penularan Covid-19 di Thailand. Langkah-Langkah sekatan akan dilaksanakan sehingga situasi itu pulih,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sebanyak 95 pekerja migran ditahan kebanyakannya di wilayah Ranong yang bersempadan dengan Myanmar.

Setakat ini, Thailand mencatat sejumlah 3,634 kes Covid-19 dengan 59 kematian. Malaysia pula mencatat 14,722 kes dengan 152 kematian manakala Myanmar sebanyak 23,906 kes dengan 566 kematian.

Malaysia kini berdepan gelombang ketiga penularan Covid-19 yang melanda negara sejak 1 Oktober. Jumlah jangkitan baharu melonjak ke tiga angka selama sembilan hari berturut-turut termasuk tertinggi adalah 691 kes pada 6 Oktober.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jangkitan baharu membabitkan beberapa kluster di Sabah dan Kedah, kawasan bersempadan dengan Thailand adalah disebabkan virus Covid-19 dengan mutasi jenis D614G yang lebih mudah merebak kerana kadar kebolehjangkitannya lebih tinggi. - Bernama