LZS bantu uruskan anak asnaf nazak

Pasukan perubatan membuat persediaan untuk menghantar kanak-kanak itu pulang ke kampung di Negeri Sembilan, semalam. - Foto LZS
Pasukan perubatan membuat persediaan untuk menghantar kanak-kanak itu pulang ke kampung di Negeri Sembilan, semalam. - Foto LZS
A
A
A

SEPANG - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang menderita kanser otak tahap empat sejak setahun lalu meninggal dunia ketika dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Negeri Sembilan, semalam.

Kisah kanak-kanak itu dikongsikan di Facebook Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini.

Menurut perkongsian itu, Lembaga Zakat Selangor menerusi Skuad Saidina Umar (SSU) menerima panggilan kecemasan berkenaan anak asnaf fakir berkenaan yang sedang nazak di rumah.

Menurutnya, SSU bertindak memberikan bantuan awal sebelum menghubungi pasukan perubatan selepas kadar denyutan nadi serta jantungnya sangat lemah.

"Anak kecil ini sebenarnya menghidap kanser otak tahap empat sejak tahun lalu dan rekod perubatan anak ini telah mengklasifikasikannya sebagai pesakit tiada rawatan susulan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan menyebut, susulan itu pihak keluarga bersetuju membawa anak ini pulang ke kampung di Negeri Sembilan dengan menaiki ambulans.

"Bantuan pernafasan terus diberikan sepanjang perjalanan ke kampung.

"Sewaktu dalam perjalanan, anak syurga ini disahkan meninggal dunia. Sampai waktu ajalnya setelah bertarung lebih setahun melawan kanser pada otaknya, " menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

LZS memaklumkan yang pihaknya akan membantu kos pengebumian dan yang berkaitan memandangkan keluarga tersebut merupakan golongan asnaf.