Penghormatan untuk FAM, keluarga bola sepak tempatan

Datuk Hamidin menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini. - Foto Facebook FAM
Datuk Hamidin menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini. - Foto Facebook FAM
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyifatkan anugerah Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira diterimanya sempena hari jadi ke -71 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam hari ini sebagai satu penghormatan untuk FAM dan seluruh semua keluarga bola sepak tempatan.

Hamidin berkata, anugerah berkenaan juga dilihat sebagai satu pengiktirafan buat pentadbir sukan, khususnya dalam kalangan penggiat bola sepak di seluruh negara.

“Saya menganggap, kurniaan ini sebagai satu penghormatan bukan sahaja untuk saya tetapi juga untuk FAM dan semua ‘keluarga’ bola sepak di negara ini.

"Anugerah ini semestinya akan memberikan dorongan kepada saya untuk terus berusaha keras memartabatkan bola sepak negara ke prestasi lebih tinggi dan disegani, dengan sokongan rakan-rakan di FAM, pemegang taruh serta agensi kerajaan,” katanya.

Hamidin yang menerajui FAM sejak Julai 2018, ialah antara 210 individu yang menerima anugerah berkenaan dalam Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.

Sebelum ini, Hamidin, 54, menerima anugerah darjah kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang Di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, September 2019.

Pada Januari lalu, Hamidin dianugerahkan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Yang Kedua (DMIJ) yang membawa gelaran Datuk daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Beliau juga sebelum ini dianugerahkan kebesaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’ daripada Sultan Pahang, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah pada 2009.

Artikel Berkaitan:

Hamidin kemudian menerima anugerah darjah kebesaran Darjah Sharafuddin Idris Shah (DSIS) daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2012. Datuk Haji Hamidin juga menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dari Selangor pada 1999 dan Ahli Mahkota Selangor (AMS) pada 2002.

Datuk Hamidin Mohd Amin. - Foto Facebook FAM
Datuk Hamidin Mohd Amin. - Foto Facebook FAM

Sementara itu Hamidin yang memulakan kerjayanya dalam pentadbiran dan pengurusan bola sepak selaku Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada 1995, ialah presiden profesional pertama FAM yang juga presiden pertama yang bukan dalam kalangan ahli politik mahupun kerabat diraja sejak Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj menjadi presiden FAM pada 1951.

Selepas dilantik sebagai Setiausaha Agung FAS pada 1998, Hamidin kemudiannya berkhidmat dalam pelbagai kapasiti di FAM, termasuk sebagai ahli jawatankuasa pertandingan, pengurus futsal dan pengurus pasukan bola sepak kebangsaan dan naib presiden sebelum dilantik menjadi Setiausaha Agung FAM pada 2013 sebelum dipilih selaku Presiden FAM menggantikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Julai 2018.