Pedofilia: Malaysia terlalu berhati-hati pinda akta, hukuman

Lilaruzaini Mohd Hussain
Lilaruzaini Mohd Hussain
A
A
A

PARIT - Semua pihak terutama kerajaan digesa menangani isu pedofilia di Malaysia secara konsisten bagi mengekang jenayah seksual terhadap kanak-kanak daripada terus berleluasa dalam masyarakat.

Presiden Pertubuhan Bahu Yang Membantu (Helping Shoulders), Lilaruzaini Mohd Hussain berkata, Malaysia kini dilihat terlalu berhati-hati dalam meminda akta dan hukuman terhadap pesalah jenayah seksual berbanding negara-negara lain.

Menurutnya, beberapa negara Asia seperti Indonesia sudah melaksanakan hukuman khusus kepada pesalah pedofilia iaitu hukuman kembiri (chemical castration).

"Perkara ini perlu diambil berat dan diberikan perhatian sewajarnya. Kita mahu isu ini ditangani dan diperangi secara konsisten melalui pindaan akta serta hukuman lebih berat kepada si pelaku.

"Kami berbesar hati jika agensi kerajaan sedia bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk sama-sama membendung kegiatan jenayah seksual kanak-kanak yang begitu membimbangkan ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Forum Peranan Masyarakat Dalam Memerangi Pedofilia serta Pelancaran NGO Helping Shoulders (cawangan Perak) yang dirasmikan Pengerusi Food Bank Perak, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi di Dewan Datuk Ahamed Hambal, Bota Kanan di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara yang juga Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria; Exco Komunikasi, Multimedia, Belia dan Sukan Perak, Khairul Shahril Mohamed; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin.

Sementara itu, Lilaruzaini berkata, hukuman seperti pemenjaraan dan sebatan tidak memadai kerana pesalah tersebut dibimbangi melakukan perbuatan sama selepas mereka tamat menjalani hukuman selagi mempunyai keinginan seksual secara aktif.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerajaan juga boleh mencontohi beberapa negara lain dalam mengenakan hukuman untuk tidak membenarkan pesalah pedofilia bekerja di sektor yang mempunyai kanak-kanak.

Menurutnya, pertubuhan tersebut akan mengemukakan beberapa cadangan kepada agensi berkaitan dalam usaha menangani kes-kes pedofilia dan mengharapkan komitmen kerajaan untuk bekerjasama.

Sementara itu, Mohd Nizar ketika ditemui menegaskan LPPKN sedia membantu ibu bapa atau mangsa jenayah seksual kanak-kanak itu mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling.

Nomee Ashikin (tengah) menyempurnakan Pelancaran NGO Helping Shoulders (cawangan Perak) di Dewan Datuk Ahamed Hambal, Bota Kanan hari ini.
Nomee Ashikin (tengah) menyempurnakan Pelancaran NGO Helping Shoulders (cawangan Perak) di Dewan Datuk Ahamed Hambal, Bota Kanan hari ini.

Katanya, LPPKN mempunyai kaunselor bertauliah membantu mengenal pasti tingkah laku kanak-kanak yang menjadi mangsa kepada jenayah pedofilia.

"Kita cuba sedaya mungkin di peringkat LPPKN untuk membantu ibu bapa termasuk kanak-kanak yang terlibat untuk mengenal pasti masalah dihadapi dan menjalankan terapi kepada mangsa dari masa ke masa.

"Terapi secara berterusan itu penting untuk mengelak berlaku kemurungan kepada mangsa. Kita alu-alukan ibu bapa untuk datang ke LPPKN bagi mendapatkan khidmat kaunseling," katanya.