UKM FC lega dapat atasi Perak II

Pemain UKM FC, Asnan Ahmad (kiri) melakukan asakan keras kepada pemain Perak II, Muhammad Nuriqmal Tumin pada aksi Liga Premier di Stadium Universiti Malaya Arena malam tadi.
Pemain UKM FC, Asnan Ahmad (kiri) melakukan asakan keras kepada pemain Perak II, Muhammad Nuriqmal Tumin pada aksi Liga Premier di Stadium Universiti Malaya Arena malam tadi.
A
A
A

KEMENANGAN tipis 2-1 yang diraih UKM FC ke atas Perak II pada aksi terakhir Liga Premier di padang Arena Universiti Malaya di sini malam tadi memberi kelegaan kepada ketua jurulatih pasukan Sulaiman Hussin.

Keputusan itu katanya, mengelakkan skuad ‘The Varsity Boys’ menghuni dua tangga tercorot daripada 12 pasukan Liga Premier pada musim ini.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum ini memutuskan tiada penyingkiran ke Liga M3 2021 untuk pasukan ke-11 dan 12 Liga Premier pada musim ini selepas pembatalan Liga M3 2020 akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

“Walaupun berlaku sedikit kesilapan, pemain telah memberikan aksi yang terbaik untuk meraih kemenangan dan tiga mata dalam perlawanan penutup saingan Liga Premier pada musim ini,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan berkenaan.

Sementara itu, pengendali Perak II Abu Bakar Fadzim mengakui kesilapan barisan pemainnya pada awal perlawanan menjadi punca kekalahan pasukannya.

Bagaimanapun katanya, kekalahan itu akan dimanfaatkan oleh barisan pemain mudanya untuk membaiki persembahan bagi menghadapi saingan Liga Premier musim depan.

“Kita tahu Perak II ketiadaan pemain import di bahagian serangan, jadi bagi saya keputusan perlawanan ini yang perlu kita terima, dan bagi saya ini adalah satu keputusan adil.

“Untuk tahun pertama sebagai feeder (kepada skuad Liga Super Perak), kami berjaya memenuhi sasaran memandangkan tiga pemain kami, termasuk seorang pemain import iaitu Tarik Isic diserapkan ke skuad utama Perak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada perlawanan berkenaan, Akanni Sunday Wasiu meletakkan UKM FC di depan setelah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-19 sebelum Perak II menyamakan kedudukan menerusi sentuhan penyudah Aliff Najmi pada minit ke-47 sebelum Baqiuddin Shamsuddin mengesahkan tiga mata penuh untuk UKM FC menerusi gol kemenangan pada minit ke-51.

UKM FC menamatkan saingan Liga Premier pada musim ini di tangga ke-9 selepas mengutip 12 mata, manakala Perak II berada di tangga tercorot saingan setelah hanya berjaya mengumpul lapan mata daripada 12 perlawanan. Bernama