Tiga jam bawa turun pendaki wanita alami sesak nafas

Pasukan bomba membawa turun mangsa menggunakan pengusung. - Foto JBPMKL
Pasukan bomba membawa turun mangsa menggunakan pengusung. - Foto JBPMKL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sepasukan 20 anggota bomba terlibat dalam operasi membawa turun seorang pendaki wanita dari Bukit Besi, Alam Damai Cheras, di sini hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.38 pagi memaklumkan mangsa berusia 23 tahun itu mengalami masalah sesak nafas ketika mendaki bukit tersebut bersama rakannya.

Komander Operasi Kanan, Mohd Fahmi Abd Rahim berkata, rawatan awal diberikan bagi menstabilkan mangsa sebelum dibawa turun.

Menurutnya, hampir tiga jam masa diambil oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheras dan Bandar Tun Razak untuk membawa turun mangsa dari ketinggian 291 meter.

"Anggota bertindak menggunakan stretcher (pengusung) untuk menurunkan mangsa yang beratnya dianggarkan 104 kg.

"Mangsa berjaya dibawa ke kaki bukit pada jam 12.52 tengah hari," katanya.

Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk rawatan lanjut sebelum operasi ditamatkan jam 1.08 tengah hari.

Artikel Berkaitan: