RM26 juta bangunkan projek perumahan di Bandar Penawar

Azalina (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Tahir (kanan) dan Setiausaha UMNO Bahagian Pengerang, Nor Samsul Mohamed dalam projek Projek Koop City Bandar Penawar di Lotus Desaru Hotel, Kota Tinggi semalam.
Azalina (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Tahir (kanan) dan Setiausaha UMNO Bahagian Pengerang, Nor Samsul Mohamed dalam projek Projek Koop City Bandar Penawar di Lotus Desaru Hotel, Kota Tinggi semalam.
A
A
A

KOTA TINGGI - Koperasi Pengerang Kota Tinggi Berhad (Kopeti) memperuntukkan tanah seluas empat hektar bagi membangunkan projek perumahan mampu milik Coop SK CITY dengan kos RM26 juta khusus untuk penduduk Pengerang di Bandar Penawar di sini.

Pengerusi Kopeti, Tahir Aris berkata, projek terbabit meliputi pembinaan Rumah Komuniti Johor (RMJ) berharga RM42,000 setiap unit, Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) berharga RM160,000 dan bangunan premis perniagaan berharga RM180,000.

"Projek ini dijangka mengambil masa dalam tempoh dua hingga lima tahun. Saya yakin projek ini akan menjadi mercu kejayaan bukan sahaja bagi kami tetapi buat seluruh koperasi di Johor dan amnya di Malaysia.

"Kita juga sedang merancang untuk memudahkan ahli-ahli koperasi terutamanya di Johor untuk diberikan pembiayaan perumahan dengan cara yang lebih fleksibel dan tidak membebankan ahli-ahli koperasi.

"Diharapkan pakej ini akan lebih memberangsangkan ahli-ahli koperasi kita untuk mempunyai aset di kawasan yang berpotensi tinggi ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) projek berkenaan di Lotus Hotel, Desaru di sini semalam dengan disaksikan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Sementara itu, Azalina berkata, projek itu bakal memberi manfaat kepada penduduk sekitar khususnya lebih 300 keluarga di Pengerang.

Katanya, kepesatan kawasan Pengerang selaras pembangunan projek Rapid Petronas menjadikan harga tanah di kawasan itu meningkat secara mendadak sekali gus memberi kesan peningkatan harga rumah yang tidak mampu dibeli penduduk tempatan berpendapatan rendah dan sederhana.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, satu kawasan yang dikurniakan Lembaga Kemajuan Tenggara (Kejora) kepada Kopeti seluas 59 ekar (23.9 hektar) di mana 10 ekar (empat hektar) daripadanya diperuntukkan khas bagi tujuan membina Rumah Komuniti Johor (RKJ) dan RMMJ.

"Harganya antara RM42,000 hingga RM160,O00 dan dimajukan sendiri oleh Kopeti melalui projek Coop SK City yang boleh menempatkan lebih 300 keluarga anak-anak tempatan Pengerang dengan harga yang mampu dibeli oleh mereka," katanya.

Azalina berkata, pihaknya sedar bahawa penduduk Pengerang yang terdiri daripada 70 peratus kawasan Felda dan 30 peratus golongan nelayan sudah tentunya tidak mampu membeli rumah berharga RM400,000 ke atas.

"Justeru, apabila dibina rumah yang jauh lebih murah, diharap mereka dapat turut sama mengecap kemajuan hidup di Bandar Penawar. Jika tiada usaha sebegini, tentunya ada golongan penduduk yang terkilan tidak berpeluang memiliki rumah di Bandar Penawar ini," katanya.