APMM tahan enam vesel dari China

Tiga daripada enam kapal dari China yang ditahan kerana menceroboh perairan negara di selatan Tanjung Setapa, Kota Tinggi semalam.
Tiga daripada enam kapal dari China yang ditahan kerana menceroboh perairan negara di selatan Tanjung Setapa, Kota Tinggi semalam.
A
A
A

KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan enam vesel asing kerana menceroboh perairan negara di Tanjung Setapa dekat sini semalam.

Vesel itu dikesan Lembaga Pelabuhan Johor pada jam 9 pagi lalu memaklumkannya kepada Zon Maritim Tanjung Sedili sebelum kapal ronda APMM yang sedang melakukan Op Jaksa dan Op Benteng Laut menjejaki mereka.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, kapal ronda APMM mengesan tiga vesel asing itu pada kedudukan 2.1 batu dan tiga lagi pada kedudukan 2.3 batu nautika selatan Tanjung Setapa.

"Vesel itu yang digunakan untuk menangkap ikan didapati merapat antara satu sama lain. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua vesel yang berdaftar di Qinhuangdoa, China.

"Vesel berkenaan dikendalikan enam nakhoda dan 54 kru warga China berumur lingkungan 31 hingga 60 tahun.

"Mereka gagal mengemukakan sebarang kebenaran berlabuh di lokasi berkenaan daripada Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia dan Lembaga Pelabuhan Johor," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Seorang kru vesel menjalani ujian saringan suhu selepas ditahan APMM kerana menceroboh perairan negara di selatan Tanjung Setapa, Kota Tinggi semalam.
Seorang kru vesel menjalani ujian saringan suhu selepas ditahan APMM kerana menceroboh perairan negara di selatan Tanjung Setapa, Kota Tinggi semalam.

Menurutnya, enam nakhoda dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk tindakan lanjut dan semua mereka turut menjalani ujian saringan koronavirus (Covid-19) sebagai langkah pencegahan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua vesel tanpa muatan tersebut dipercayai dari China menuju ke Mauritania untuk menangkap ikan sebelum berlabuh kerana ada antara vesel mengalami kerosakan.

"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 kerana nakhoda vesel asing itu memasuki perairan negara tanpa pemakluman dan Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kelulusan Pengarah Jabatan Laut.

"Jika bersalah nakhoda boleh dikenakan denda tidak melebihi RM6 juta seorang dan kru RM600,000 seorang di bawah Akta Perikanan 1985," katanya.

Tambahnya, bagi Seksyen 491B(1)(L) OPS 1952 boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

"Ejen atau pengurus vesel penangkapan ikan asing dinasihatkan mendapatkan kelulusan Jabatan Perikanan Malaysia sebelum melakukan sebarang urusan pembaikan atau pengisian minyak melibatkan vesel asing," katanya.