Dua ADUN Warisan jalani kuarantin kendiri

Manis Muka Mohd Darah, Jaujan Sambakong
Manis Muka Mohd Darah, Jaujan Sambakong
A
A
A

KOTA KINABALU - Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Warisan Sabah (Warisan) yang tidak hadir dalam majlis angkat sumpah di Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam kini sedang menjalani kuarantin kendiri secara sukarela.

Dalam kenyataan media Warisan hari ini berkata, ADUN Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong dan ADUN Bugaya, Datin Manis Muka Mohd Darah kini berada di daerah zon merah iaitu Semporna.

Menurutnya, seramai 21 ADUN menghadiri majlis angkat sumpah itu dan mereka semua menjalani kit ujian pantas (RTK) antigen seperti yang dimaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dalam surat bertarikh 6 Oktober lalu.

"Ujian itu prasyarat bagi semua ADUN yang hadir pada majlis angkat sumpah itu.

"Dua ADUN tidak dapat hadir pada majlis itu kerana mereka kini secara sukarela menjalani kuarantin kendiri di dalam zon merah di Semporna," katanya.

Semalam, seramai 74 ADUN Sabah termasuk empat ADUN dilantik mengangkat sumpah di DUN Sabah manakala lima lagi ADUN termasuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee dan Timbalan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Amisah Yassin tidak hadir pada majlis itu.

ARTIKEL BERKAITAN: 74 ADUN Sabah angkat sumpah

Hajiji yang juga ADUN Sulaman dalam kenyataan medianya sebelum ini memaklumkan bahawa beliau sedang menjalani kuarantin kendiri selepas terdedah dengan individu yang didapati positif Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun malam tadi, satu lagi kenyataan media daripada Setiausaha Perhubungan Awam kepada Ketua Menteri, Effendi Mohamed Sunoh mengesahkan bahawa Hajiji dijangkiti virus koronavirus (Covid-19) selepas ujian Covid-19 dijalankan sekali lagi terhadapnya.

Hajiji kini sedang menjalani rawatan di Hospital Queen Elizabeth (QEH).

ARTIKEL BERKAITAN: Hajiji positif Covid-19, kini dirawat di hospital