Melaka bakal bangunkan koridor ekonomi baharu

Mohd Ali Rustam (dua dari kiri) memeriksa perbarisan Kawalan Kehormatan Utama pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Sempena Hari Jadi Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri ke-71 di Balai Istiadat, Seri Negeri Ayer Keroh hari ini.
Mohd Ali Rustam (dua dari kiri) memeriksa perbarisan Kawalan Kehormatan Utama pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Sempena Hari Jadi Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri ke-71 di Balai Istiadat, Seri Negeri Ayer Keroh hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka akan membangunkan koridor ekonomi baharu sebagai mercu tanda baharu dan bakal menjadi pemacu perubahan kepada ekonomi negeri.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, koridor ekonomi baharu itu yang akan dinamakan sebagai Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) akan dibangunkan di kawasan tambak laut seluas 6,070 hektar sepanjang 22 kilometer, dari Umbai hingga ke Tanjung Bruas.

“Saya yakin kedudukan M-WEZ ini sangat sesuai, strategik dan menarik serta bakal menjadikan Melaka sebagai destinasi pelaburan dan perniagaan antarabangsa yang unggul.

“Manfaatnya bakal melonjakkan ekonomi, bukan sahaja faedahnya yang lumayan kepada rakyat di negeri ini, malah impaknya dirasai di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-71 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di Seri Negeri di sini hari ini.

Bagi merancakkan lagi kemajuan negeri Melaka, katanya beberapa inisiatif pembangunan negeri telah dirancang antaranya menubuhkan Daerah Penuh Masjid Tanah, Stesen Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Melaka, Pendigitalan dan Bandar Pintar, industri berteknologi tinggi, Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi dan pembinaan Infrastruktur Sisa Buangan kepada Tenaga (WTE) di Sungai Udang.

Beliau berkata, pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda global ketika ini turut memberi kesan kepada prestasi semasa ekonomi negeri Melaka yang menyusut 17.1 peratus pada suku kedua 2020 berbanding pertumbuhan marginal 0.7 peratus pada suku pertama tahun ini.

“Prestasi suku tahun ini merupakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terendah yang direkodkan sejak suku tahun keempat 1998 (-11.2 peratus).

Artikel Berkaitan:

“Namun demikian, kita bersyukur, dengan tindakan pantas, khususnya di pihak Kerajaan Persekutuan dalam menangani hal ini, antaranya melalui pengumuman pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan pelan pemulihan ekonomi jangka pendek yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk mengurangkan impak Covid-19, dijangka mampu meredakan kelembapan ekonomi secara beransur-ansur agar dapat meningkat pada suku ketiga 2020,” katanya.

Beliau yang mewakili kerajaan negeri Melaka turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan yang dipimpin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada 23 September lepas, kerajaan mengumumkan inisiatif tambahan khas iaitu Kita Prihatin, meliputi Program Subsidi Upah 2.0, Geran Khas Prihatin dan Bantuan Prihatin Nasional 2.0.

“Insya-ALLAH, kerajaan negeri Melaka juga akan mengadakan perjumpaan khas pra-bajet 2021 dengan semua pemegang taruh dan kelompok sama ada agensi kerajaan mahupun pihak industri, termasuk persatuan yang berkenaan bagi mendapatkan input sebagai persediaan sebelum kita membentangkan Bajet Negeri Melaka 2021 yang dijangka pada November ini,” katanya.

Bagi memulihkan industri pelancongan yang terjejas akibat Covid-19 katanya, kerajaan negeri telah melakukan pelbagai usaha untuk menarik pelancong antaranya merancakkan industri pelancongan domestik, mengukuhkan pasaran antarabangsa selektif dan meluaskan capaian promosi destinasi Melaka dengan berkonsepkan digital.

“Bagi tujuan itu, slogan baharu telah diwujudkan iaitu ‘Melaka Safe Haven' dan 'Melaka is the Place To Be' bagi menggambarkan Melaka sebuah negeri yang selamat dan bersih untuk dikunjungi sebagai destinasi percutian pilihan.

“Selain itu, promosi Melaka sebagai sebuah pusat percutian dan pelancongan menarik telah diperhebatkan lagi melalui kempen ‘Dream Now Travel Later (DNTL)’ dengan menggunakan platform digital iaitu ‘Melaka Excess’," katanya.

Untuk rekod, sejak Januari hingga Jun lepas, seramai 3.01 juta pelancong telah mengunjungi Melaka dan kerajaan negeri menyasarkan kehadiran 5.6 juta pelancong pada tahun ini. Melaka merekodkan kedatangan 18.73 juta pelancong pada tahun lepas. - Bernama