Penolong jurutera dijel buat tuntutan palsu bina surau


Seorang bekas penolong jurutera dijatuhi hukuman denda RM326,700 dan penjara 24 bulan selepas didapati bersalah membuat tuntutan palsu berhubung kerja pembinaan surau berjumlah RM65,340 pada Disember 2016.
Seorang bekas penolong jurutera dijatuhi hukuman denda RM326,700 dan penjara 24 bulan selepas didapati bersalah membuat tuntutan palsu berhubung kerja pembinaan surau berjumlah RM65,340 pada Disember 2016.
A
A
A

KUANTAN- Seorang bekas penolong jurutera dijatuhi hukuman denda RM326,700 dan penjara 24 bulan selepas didapati bersalah membuat tuntutan palsu berhubung kerja pembinaan surau pada Disember 2016.

Hakim Mohd Ghazali Mohamad Tain membuat keputusan itu di Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan kes.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan hukuman penjara dan denda sementara menunggu permohonan rayuan oleh Mohd Azly Kamarudin, 33 yang diwakili peguam T Mura Raju memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi dalam tempoh 14 hari dari tarikh hukuman dijatuhkan.

Dalam rayuannya, peguam tertuduh memohon mahkamah menangguhkan hukuman penjara dan denda dikenakan bagi memberi laluan kepada proses rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mohd Azly yang masih bujang digantung kerja sejak awal tahun lalu dan kini menetap bersama keluarganya di Rompin kini mengalami masalah untuk membantu menyara ibu bapanya.

Dalam pada itu, Timbalan pendakwa raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry berharap agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal kerana tertuduh sedia maklum tentang kesalahan rasuah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Azly didakwa atas kesalahan rasuah pada 20 Disember 2016 di Pejabat Tanah dan Daerah Rompin.

Dia didakwa dengan niat mengelirukan majikan menandatangani dokumen pengakuan pengesahan kerja sudah disiapkan bagi kerja pembinaan surau serta kerja berkaitan di perumahan Pontian Jaya, Kuala Rompin, bernilai RM65,340.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana mana lebih tinggi.