Pesawah mengeluh padi ditenggelami air

Ikhsan Fairoz menunjukkan keadaan pokok padi berusia 10 hari tenggelam dan berisiko rosak.
Ikhsan Fairoz menunjukkan keadaan pokok padi berusia 10 hari tenggelam dan berisiko rosak.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Kira-kira 300 pesawah membabitkan padi seluas 960 hektar di Parit 5 hingga Parit 9 di Mukim Panchang Bedena di sini berisiko mengalami penurunan hasil pengeluaran musim ini akibat ditenggelami air.

Mereka mendakwa tidak menghidupkan pam air sedia ada yang berfungsi mengepam air dari sawah ke parit buang sebelum disalir keluar ke parit takung.

Seorang pesawah, Napiyah Idris, 61, berkata, pokok padi yang baru ditanam 10 hari Parit 6 Setengah Timur terjejas teruk digenangi air selepas hujan berterusan selama dua hari.

"Pokok padi bawah 10 hari tidak boleh ditenggelami air dan jika keadaan berterusan pokok berisiko rosak serta diserang penyakit siput gondang," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Napiyah yang mengusahakan tanaman padi seluas 120 hektar memberitahu, hampir separuh tanamannya rosak akibat keadaan itu.

"Sepatutnya masalah ini tidak berlaku jika pam berfungsi dan mengelakkan air bertakung di kawasan sawah," katanya.

Ikhsan Fairoz Ruslan, 31, pula berkata, keadaan itu sudah tentu memberi kesan kepada hasil pendapatan pesawah pada masa depan.

"Saya anggarkan lebih 80 peratus anak padi yang baru ditanam rosak dan merugikan pesawah apatah lagi terpaksa menabur benih sekali lagi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikhsan Fairoz yang mengusahakan tanaman padi di Parit 6 Timur berkata, pihak terbabit perlu menghidupkan segera pam sedia ada bagi memastikan pengaliran air dari kawasan sawah lebih lancar.

Seorang lagi pesawah dari Parit 7 Timur, Sahbudin Mohd Zaini, 49, berkata, pesawah terpaksa mengeluarkan modal sendiri untuk menyewa pam lain bagi membuang air dari kawasan tanaman.

Katanya, keadaan itu meresahkan ramai pesawah yang berpendapatan rendah dan bergantung sepenuhnya tanaman itu untuk menyara kehidupan.

"Selain itu, saya turut memohon supaya pihak berwajib dapat menyelenggara palung bocor di kawasan tanaman sejak dua tahun lalu.

"Palung ini mengalami kerosakan teruk dan air melimpah menyebabkan kawasan tanaman padi lembab dan tidak boleh dilalui jentera untuk pengeluaran hasil," katanya.