Tukang rumah patah kaki, motosikal terjunam dalam gaung

Anggota penyelamat membawa naik mangsa yang terjatuh ke dalam gaung sedalam 50 meter. - Foto ihsan IPD Hulu Terengganu
Anggota penyelamat membawa naik mangsa yang terjatuh ke dalam gaung sedalam 50 meter. - Foto ihsan IPD Hulu Terengganu
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang tukang rumah cedera selepas motosikal ditunggangnya terjunam ke dalam gaung sedalam 50 meter di Kilometer (KM) 55, Jalan Kuala Berang-Aring (Bukit Kawah) di sini pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu berlaku ketika mangsa, Muhamad Mahasan, 41, cuba mengelak daripada melanggar motosikal yang ditunggang adiknya yang terbabas.

Akibat kejadian itu, mangsa patah pergelangan kaki kanan manakala adiknya, 31, hanya cedera ringan dan mereka kini menerima rawatan di Hospital Hulu Terengganu serta dilaporkan stabil.

Ketua Polis Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati dua beradik itu berkonvoi bersama lebih 30 motosikal lagi menuju ke Sekolah Pondok Pok Teh Dabong, Gua Musang, Kelantan untuk program amal.

Beliau berkata, setibanya di lokasi, motosikal jenis Yamaha Nouvo LC ditunggang adik mangsa terlanggar batu dan pasir sebelum terbabas di lorong sebelah kiri jalan menghala ke Aring.

"Kemudian motosikal jenis Modenas Elegan 150 ditunggang mangsa dari arah yang sama mengelak melanggar motosikal adiknya itu lalu hilang kawalan sebelum melanggar tebing bahu jalan sebelah kiri dan terjunam ke dalam gaung sedalam lebih kurang 50 meter.

"Akibat kemalangan tersebut, motosikal ditunggang mangsa mengalami kerosakan teruk di keseluruhan komponen kenderaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59) iaitu kesalahan mengawal kenderaan dan terlibat dalam kemalangan yang boleh dikenakan kompaun maksimum RM300 tanpa sebarang rayuan kecuali di mahkamah.

Artikel Berkaitan: