X

Kindly register in order to view this article
!

Lebih 8,000 sertai pertandingan dalam talian anjuran JaPen

Juri-juri teliti memilih pemenang bagi pertandingan mewarna dan melukis sempena sambutan Hari Kebangsaan 2020 yang dianjurkan JaPen. - FOTO ROSLI TALIB
A
A

PUTRAJAYA - Pertandingan Mewarna dan Melukis Sempena Bulan Kebangsaan 2020 dan Pertandingan Fotografi [email protected] 2020 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada rakyat Malaysia berbilang usia, kaum dan agama.

Pengarah Bahagian Komunikasi Visual dan Seni Reka JaPen, Mohd Roffee Mohamad berkata, sebanyak 8,001 penyertaan diterima bagi Pertandingan Mewarna dan Melukis, manakala 675 penyertaan bagi Pertandingan Fotografi [email protected] 2020.

“Kita tidak sangka mendapat sebegitu banyak penyertaan kerana pertandingan ini kali pertama dianjurkan secara dalam talian.

“Banyak kelebihan yang diperoleh apabila pelaksanaannya dilakukan secara maya. Kita dapat penyertaan dari seluruh negara berbanding sebelum normal baharu yang lebih tertumpu kepada sesebuah tempat, selain terpaksa mengulanginya di beberapa lokasi lain,” katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, walaupun berdepan pandemik koronavirus (Covid-19), namun ia tidak mematahkan semangat rakyat Malaysia dan JaPen meraikan Hari Kebangsaan 2020 dengan pelbagai program yang telah diatur.

“Sebenarnya banyak program dan pertandingan lain yang dijalankan dalam talian. Bahagian ini telah dipertanggungjawabkan untuk tiga pertandingan tersebut,” kata beliau.

Selain itu, Mohd Roffee berkata, pertandingan itu juga berjaya menyatupadukan semua lapisan masyarakat dan ia dapat dilihat dalam pelbagai peringkat sejak pertandingan itu dilancarkan pada Ogos lalu.

Syaza Syazwany dari Kuala Lumpur dinobatkan sebagai johan Kategori Wefie.
Syaza Syazwany dari Kuala Lumpur dinobatkan sebagai johan Kategori Wefie.

Mengulas mengenai juri, beliau berkata, JaPen telah memilih juri-juri yang berpengalaman untuk memilih pemenang.

Sementara itu, Ketua Juri Pertandingan Fotografi Klik @Merdeka, Profesor Madya Dr Sharkawi Che Din berkata, pihaknya memilih gambar yang memenuhi kriteria ditetapkan.

Menurutnya, antara yang dinilai adalah tema, teknik, komposisi, kontra dan kapsyen gambar yang dihantar.

“Saya bersama dua orang lagi juri melihat kriteria tersebut sebelum menentukan markah. Rata-rata penyertaan memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“Namun, ada penyertaan yang meletakkan teks pada gambar dan kita terpaksa singkirkan,” katanya.

Ketua Unit Publisiti, Bahagian Komunikasi Visual dan Seni Reka JaPen, Muhamad Azid Abdul Latiff pula berkata, pihaknya berdepan cabaran apabila terpaksa memilih yang terbaik daripada 8,001 penyertaan itu.

Menurutnya, pertandingan mewarna dan melukis bagi kategori A hingga C melibatkan kanak-kanak berumur lima tahun sehingga 12 tahun.

“Kreativiti peserta terserlah dalam setiap karya mereka. Sangat mencabar kerana semua penyertaan mempunyai elemen kreativiti dan semangat kecintaan kepada negara,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik) JaPen, Datuk Mohd Sukari Ab Hamid berkata, semua penyertaan dinilai oleh panel juri bertauliah dalam sesi penjurian yang diadakan pada 5 Oktober lalu di Kompeks Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia di sini.

Hadiah

Menurutnya, pemenang Pertandingan Mewarna dan Melukis menerima wang tunai RM100 sehingga RM600 berserta sijil, manakala pemenang Pertandingan Fotografi [email protected] 2020 menerima wang tunai RM300 hingga RM1,500, plak dan sijil penyertaan.

“Kategori A Pertandingan Mewarna milik Naurah Nursyifaa’ Salman dari Pahang yang membawa pulang RM200, manakala naib johan dimenangi Lee Hao Xuan dari Pulau Pinang (RM150) dan tempat ketiga, Jarrell Chong Yan Shen dari Sarawak (RM100).

“Bagi Kategori B, johan disandang oleh Wafa Sofiyyah Shahrul Ashraf dari Perak, naib johan dimenangi Jayden Chong Yan En dari Sarawak (RM150) dan Ang Jia Lin dari Kedah menang tempat ketiga (RM100),” katanya.

Johan Kategori C milik Hafsah Hussin dari Sabah (RM400), naib johan, Andy Sio Zhi Hao dari Johor (RM300) dan tempat ketiga milik Soo Weng Yen dari Selangor (RM200).

Gelaran johan bagi Pertandingan Melukis Kategori A dirangkul oleh Gracelyn Loh Yee Thing dari Pulau Pinang (RM500), naib johan dimenangi Mok Huay Yuan dari Sabah (RM400) dan tempat ketiga milik Nur Shafiqa Saufi dari Pahang (RM300).

Sementara itu, bagi Kategori B, Chong Ka Zen dari Sabah dinobat sebagai johan (RM600), tempat kedua milik Nur Auni Rostam Araffat dari Selangor (RM500) dan tempat ketiga milik Eleni Loh Yee Chern dari Pulau Pinang (RM400).

Mohd Niza memenangi Pertandingan Fotografi Klik@Merdeka 2020 Kategori Selfie.
Mohd Niza memenangi Pertandingan Fotografi [email protected] 2020 Kategori Selfie.

Pemenang Pertandingan Fotografi [email protected] 2020 Kategori Selfie ialah Mohd Niza Othman dari Selangor yang menerima hadiah sebanyak RM800. Naib johan dimenangi Mohd Hafizol Ramli dari Kuala Lumpur (RM500) dan tempat ketiga dirangkul Kuck Jinn Ni dari Pahang (RM300).

Kategori Wefie dimenangi Syaza Syazwany Badaruddin dari Kuala Lumpur (RM1,500), naib johan milik Shamsul Kamal Zakaria dari Selangor (RM1,000) dan tempat ketiga, Masnah Salus dari Sarawak (RM750).

“JaPen mengucapkan tahniah kepada pemenang dan penghargaan atas penyertaan orang ramai,” kata Mohd Sukari.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!