Polis lepas dua tembakan, pemandu bawa rokok seludup

Seorang lelaki ditahan selepas didapati membawa rokok seludup.
Seorang lelaki ditahan selepas didapati membawa rokok seludup.
A
A
A

SUBANG JAYA - Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta yang dipandu seorang lelaki dipercayai membawa rokok seludup ketika cuba meloloskan diri di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, kereta jenis Nissan Almera dipandu suspek dikesan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di Persiaran Kewajipan kira-kira jam 7.30 pagi.

Menurutnya, anggota polis yang dalam perjalanan untuk tugasan kawalan lalu lintas itu mendapati kereta terbabit dalam keadaan mencurigakan selain dipandu sambil menggunakan telefon bimbit.

"Polis terus mengekori kereta berkenaan sebelum mengarahkan suspek untuk berhenti untuk pemeriksaan, namun suspek enggan dan terus memecut kenderaannya," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, anggota polis telah mengejar suspek hingga di lampu isyarat USJ5 sebelum suspek bertindak menghimpit serta cuba melanggar motosikal yang ditunggang anggota.

Katanya, anggota polis kemudian telah melepaskan dua das tembakan ke arah tayar hadapan kereta suspek sebelum suspek memberhentikan kenderaannya berhampiran USJ9.

"Pemeriksaan di dalam kereta suspek menemui 188 karton rokok jenama Gudang Garam Surya.

"Suspek yang berusia lingkungan 20-an bersama kenderaan dengan barang rampasan telah dibawa balik ke IPD Subang Jaya untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, suspek kini direman lapan hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam," katanya.