Sekolah di Sabah tutup mulai hari ini hingga 25 Oktober

Semua sekolah di Sabah ditutup mulai 10 Oktober sehingga 25 Oktober ini. - Foto Bernama
Semua sekolah di Sabah ditutup mulai 10 Oktober sehingga 25 Oktober ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan semua sekolah di Sabah ditutup mulai hari ini sehingga 25 Oktober ini.

Bagaimanapun, murid-murid sekolah berasrama penuh yang berada di zon merah serta mereka di asrama sekolah yang terletak di zon hijau tetapi rumah keluarga adalah di zon merah, perlu kekal tinggal di asrama masing-masing.

Menurut KPM, pihak sekolah akan menguruskan keselamatan dan kebajikan murid-murid tersebut di asrama.

“Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi ini (semalam) telah memberi tumpuan khusus kepada situasi di Sabah.

“Pada masa ini, semua sekolah di zon merah di negeri Sabah telah ditutup. Memandangkan kes-kes di negeri ini masih menunjukkan peningkatan, mesyuarat bersetuju supaya KPM meneliti keperluan untuk menutup sekolah-sekolah di seluruh negeri Sabah,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Dalam tempoh itu, KPM berkata, pentadbir sekolah diarah memastikan guru dan murid-murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah dengan memuat turun manual di portal rasmi KPM (www.moe.gov.my). - Bernama

Artikel Berkaitan: