X

Kindly register in order to view this article
!

AHMAD ISMAIL
A
A

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) belum dapat mengumumkan tarikh baharu aksi aksi minggu keempat Liga Sepak Takraw (STL) 2020 Divisyen Premier yang telah ditunda semalam berikutan kebimbangan penularan pandemik Covid-19.

Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, tarikh baharu itu hanya akan diputuskan pada mesyuarat exco badan induk itu yang dijangka diadakan selepas pihaknya mengetahui hasil ujian swab seorang pegawai yang terlibat dengan penganjuran STL 2020.

Malah, Ahmad memberitahu, PSM juga akan merujuk kepada Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum mengumumkan mengenai tarikh baharu STL 2020 Divisyen Premier kali ini.

“Kita tak tahu lagi sampai bila penangguhan penganjuran STL ini kerana kita hanya boleh buat keputusan setelah menerima keputusan ujian (swab) pegawai yang berkenaan.

“Namun, saya tidak dapat dedahkan identiti pegawai berkenaan kerana sepertimana yang kita semua tahu, ia tertakluk di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Saingan minggu keempat STL 2020 Divisyen Premier yang dijadualkan bermula semalam hingga esok terpaksa ditunda. Ia berikutan seorang penumpang yang berada di dalam bas dinaiki seorang pegawai STL 2020 dua minggu lalu didapati positif Covid-19.

“PSM mendapati ramai juga peserta STL 2020 dan STL Remaja 2020 yang mempunyai kontak rapat, maka setelah berbincang dengan MSN, ISN dan Astro, PSM tidak sanggup dan tidak berani mengambil risiko demi menjaga nama baik sepak takraw dan PSM.

“Jadi PSM dengan berat hati terpaksa mengambil keputusan menangguhkan semua pertandingan termasuk STL 2020, STL Remaja 2020 dan Piala Dato' Seri Haji Ahmad Ismail kepada satu tarikh lain.

“Saya juga ingin memohon maaf kepada kesemua pihak yang terlibat atas penangguhan STL buat masa ini. Keputusan drastik ini terpaksa dibuat selepas waktu solat Jumaat.

“Jadi saya sekali lagi ingin minta maaf kepada setiap pasukan yang sudah buat persiapan seperti menyewa homestay, hotel dan sebagainya untuk beraksi pada minggu ini,” jelasnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!