Hajiji positif Covid-19, kini dirawat di hospital

Hajiji Mohd Noor
Hajiji Mohd Noor
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor disahkan positif Covid-19 dan kini sedang menjalani rawatan di Hospital Queen Elizabeth (QEH).

Perkara itu disahkan selepas beliau menjalani ujian Covid-19 sekali lagi ketika sedang melakukan kuarantin kendiri beberapa hari lalu.

Setiausaha Perhubungan Awam kepada Ketua Menteri, Effendi Mohamed Sunoh berkata, seperti yang sedia maklum, Hajiji sebelum ini secara sukarela menjalani kuarantin kendiri selepas salah seorang daripada kakitangannya didapati positif Covid-19.

"Ketika dalam kuarantin kendiri itu, beliau menjalani ujian Covid-19 sekali lagi dan hasil ujian terbaru mengesahkan beliau didapati positif.

"Beliau kini sedang menjalani rawatan di QEH bagi rawatan seterusnya. Keadaan kesihatan beliau baik dan stabil," katanya dalam satu kenyataan media, sebentar tadi.

Effendi berkata, walaupun Hajiji sedang menjalani rawatan namun beliau masih menjalankan tugas dan tanggungjawabnya di tempat rawatan menerusi panggilan telefon dan sidang video.

"Kerajaan Negeri berfungsi seperti biasa. Beliau mengajar seluruh rakyat Sabah bertenang dan bersama-sama berdoa agar Allah SWT sembuhkan dan selamatkan Sabah dan Malaysia daripada Covid-19," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Zulkifli sah positif Covid-19

Artikel Berkaitan:

Tersebar dakwaan Hajiji, isteri dijangkiti Covid-19