Potong bekalan utiliti kilang buang sampah haram

Phee Boon Poh
Phee Boon Poh
A
A
A

BUTTERWORTH - Kerajaan negeri Pulau Pinang menyarankan langkah menguatkuasakan pemotongan bekalan utiliti seperti air dan elektrik ke atas kilang yang didapati menjalankan aktiviti pembuangan sampah secara haram.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata, pihaknya telah mengenal pasti kilang yang berbuat demikian dan akan membentangkan usul untuk memotong bekalan utiliti premis terbabit dalam mesyuarat exco akan datang.

“Ini akan menjadi operasi bersama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), jadi kerajaan negeri perlu mengesahkannya terlebih dahulu sebelum kami boleh mengambil tindakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Phee berkata demikian ketika mengulas aktiviti pembuangan sampah dan pembakaran secara haram di Machang Bubok di mana penduduk berhampiran mengadu mengenai bau busuk di lokasi terbabit.

Beliau berkata, pihaknya telah mengenal pasti lebih 10 kilang di seluruh negeri itu yang didapati menjalankan aktiviti pembuangan sampah dan pembakaran secara haram.

“Kesemua kilang ini telah diberi amaran dan diarah untuk menghentikan kerja namun tidak diendahkan,” katanya.

Phee berkata, kebanyakan kilang terbabit yang dikenal pasti melakukan kegiatan itu adalah pusat kitar semula. - Bernama

Artikel Berkaitan: