X

Kindly register in order to view this article
!

Bukan mudah berkata benar

A
A

Kebenaran adalah teras kehidupan yang cukup penting. Patahnya teras tersebut, maka hancurlah peradaban dan ketamadunan manusia. Pendek kata, sikap yang tenang, berintegriti dan berakhlak mulia datangnya daripada cabang kebenaran. Oleh itu, semua masyarakat menyanjung tinggi sesuatu kebenaran.

Pun begitu, bukan mudah untuk menegakkan kebenaran. Malah, adakala kita pun tidak berkata benar kepada diri sendiri. Sementelahan pula untuk berkata benar kepada orang lain. Apa pun, kita perlu berkata benar walaupun pahit.

Sebetulnya, asas kepada kebenaran adalah kejujuran. Jika kita tidak jujur, tentunya sentiasa mengelak untuk bercakap benar terhadap kekhilafan yang telah kita lakukan.

Selain itu, kita juga tidak ikhlas menegur seseorang. Menurut Albert Einstein: “Barang siapa yang ambil mudah tentang kebenaran dalam perkara kecil, mereka tidak boleh dipercayai bagi perkara yang lebih besar dan penting.”

Berkaitan hal itu, ALLAH SWT berfirman: “Dan hendaklah orang-orang yang takut kalau di belakang hari mereka meninggalkan keturunan yang lemah dan mencemaskan (berasa ketakutan) akan mereka. Maka, bertakwalah kepada ALLAH dan berkatalah dengan ‘Qaulan sadida’ (perkataan yang benar)." (Surah An-Nisa’ ayat 9).

Menurut perspektif psikologi, kebenaran adalah sesuatu yang rumit, namun melibatkan sesuatu fakta yang tidak bersifat emosi dan peribadi. Apa yang penting, kita lebih bersikap telus dalam menyampai dan menerima kebenaran. Walaupun kita mempunyai alasan untuk tidak berkata benar, namun perkara yang paling baik untuk dilakukan adalah bercakap benar.

Bagi Pak Hamka pula, kebenaran adalah berkait rapat dengan kesihatan jiwa. Menerusi buku beliau, Tasauf Moden: “Kesihatan jiwa memerlukan empat syarat iaitu berani pada kebenaran dan takut pada kesalahan, pandai menjaga kehormatan batin, mengetahui hikmah atau rahsia kehidupan dan bersikap adil walaupun kepada diri sendiri.”

Hakikatnya, dalam menyampaikan kebenaran terdapat dua keadaan yang merosakkan jiwa kita iaitu sikap membabi buta dan penakut.

Akibat sikap membabi buta untuk menyampaikan kebenaran, maka keluar-lah sifat-sifat buruk yang lain seperti mulut kotor, mengumpat, lekas marah, keras kepala, tidak mengakui kesalahan diri, mengecilkan hati orang, takbur dan sombong.

Penakut

Menurut hukama: “Lebih baik sebuah kapal yang dipermainkan gelombang dan kehilangan pedoman daripada seorang pemarah. Sebab meskipun kapal itu telah rosak, orang yang melihat masih sayang dan hiba tetapi orang yang marah bertambah ditolong, bertambah karam, bertambah diikhtiarkan bertambah jatuh sehingga jemu orang melihatnya.”

Bagi sifat penakut pula, mereka tidak berani berkata benar walaupun secara terang-terangan adalah salah kerana takut menerima impak akibat berkata benar seperti orang tidak menyukainya, malas menimbulkan isu, mengelak berlaku konflik dan mengambil pendirian berkecuali serta mendiamkan diri. Lebih teruk, hendak menyokong kebenaran daripada pihak lain pun takut.

Pada hemat saya, sikap membabi buta dan penakut dalam menyampaikan kebenaran telah menjadi kelaziman pada masa ini. Bagi mereka yang pemarah, tidak sabar dan kurang teliti, apa sahaja bersifat benar terus ditularkan sehingga boleh mendatangkan aib kepada seseorang dalam jangka masa panjang.

Ya, benar mereka salah, namun siapalah kita untuk menghakimi kesalahan mereka. Bagi yang penakut pula, kononnya mahu berkecuali, namun pada akhirnya orang yang menegakkan kebenaran pula tersingkir.

Sejujurnya dalam berkata benar, kita perlu ikhlas dan berhikmah. Menurut Ibnu Abbas RA bahawa Nabi SAW bersabda kepada Asyaj bin Abdil Qais: “Sesungguhnya pada dirimu terdapat dua sifat yang dicintai oleh ALLAH iaitu lemah lembut dan sifat berhati-hati.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Oleh itu, janganlah kita menjadi keras dan kasar kerana menjauhi fitrah yang bersifat lembut serta berhati-hati.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Pensyarah Psikologi Kaunseling, Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Perlis


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!