Tangguh dahulu pilihan raya

A
A
A

Seperkara yang baik berlaku di sebalik koronavirus (Covid-19) pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah bagaimana musibah itu membuka peluang pembentukan normal baharu pada pilihan raya. Walaupun mengadakan pilihan raya secara berkala dan tetap adalah ciri penting amalan demokrasi, kadangkala menangguhkan pilihan raya itu juga adalah sesuatu yang demokratik untuk dilakukan disebabkan faktor kecemasan dan luar jangka.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi di Sabah dan PRN Sarawak ke-12 bakal menjengah, barangkali parti politik, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), malah Parlimen sendiri boleh menggunakan prinsip substantif demokrasi dan integriti pilihan raya bagi menangguhkannya tanpa perlu menggunakan peruntukan perundangan sedia ada.

Tindakan mengadakan PRN Sabah ketika pandemik Covid-19 telah menjejaskan integriti pilihan raya itu sendiri. Ruang kepada pertandingan yang berkesan, penyertaan proaktif rakyat dan kualiti pengurusan pilihan raya dilihat tidak memuaskan disebabkan Covid-19.

Itu belum lagi risiko keselamatan yang terpaksa ditanggung selepas PRN berakhir. Kita menyaksikan bagaimana bahana melakukan PRN kepada usaha negara melawan Covid-19 yang menjadi sia-sia sehingga kes baharu jangkitan mencatat rekod tertinggi melebihi kes ketika kerajaan melakukan sekatan dan penutupan selama tiga bulan.

Disebabkan itu, kita sebenarnya memang ada alasan kukuh untuk meminta penangguhan sementara daripada mengadakan sebarang pilihan raya. Apakah menangguhkan pilihan raya bermakna kita telah memusnahkan integriti pilihan raya lantas menjadikan politik negara tidak demokratik?

Hal itu mampu diterangkan dengan memahami konsep integriti pilihan raya dan demokrasi. Dua konsep itu lebih melihat kepada pencapaian objektif dan prinsip utama demokrasi serta pilihan raya diadakan, berbanding menjadikan ia sebagai senarai semak (checklist) yang tidak memberi alasan munasabah mengapa kita boleh dianggap sebagai sebuah negara demokratik.

Sepatutnya, pelaksanaan pilihan raya harus dijadikan alat kepada perluasan amalan demokrasi yang unggul terutama dalam memberikan hak berpartisipasi saksama, persaingan politik yang sihat dan seimbang serta ruang untuk perbincangan dan pertimbangan yang adil serta terbuka kepada semua rakyat.

Ia selari dengan konsep integriti pilihan raya yang dianjurkan Garnett dan James (2020) sebagai merealisasikan prinsip demokrasi dalam pelaksanaan pilihan raya yang diperlukan untuk menyokong kewujudan amalan demokrasi lebih luas.

Artikel Berkaitan:

Mungkin aspek kemanusiaan wajar menjadi pertimbangan utama dalam konteks tersebut. Apakah kematian bayi berusia setahun di Semporna, Sabah dek Covid-19 pada Selasa lalu masih belum cukup meruntun hati semua pihak untuk berhenti berpolitik? Adakah penting sangat pilihan raya sampai tidak boleh ditangguhkan langsung? Tidak adakah jalan lain boleh dilakukan jika terdesak sehingga pilihan raya itu mesti dilakukan tanpa mengira masa dan suasana?

Sedikit sejuk hati apabila orang-orang politik seperti Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang mahu status quo dikekalkan di Parlimen Batu Sapi dengan tidak meletakkan calon serta memberi laluan kepada Warisan untuk mempertahankan kerusi tersebut tanpa dicabar mana-mana parti.

Ia bertujuan agar semua pihak mengambil kira penularan Covid-19 yang mengancam keselamatan semua terutama pengundi di Sandakan yang dikategorikan sebagai zon merah.

Syabas diucapkan kepada kalian bertiga. Di sebalik kemarahan orang ramai terhadap huru-hara orang politik ketika ini, sekurang-kurangnya masih ada dalam kalangan mereka yang berjiwa besar dan mahu mendahulukan kepentingan rakyat berbanding kepentingan politik masing-masing.

Apakah kematian bayi berusia setahun di Semporna, Sabah dek Covid-19 pada Selasa lalu masih belum cukup meruntun hati semua pihak untuk berhenti berpolitik?”

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)