Rusia mahu daftar vaksin EpiVacCorona Khamis ini

Ujian fasa kedua vaksin berpotensi, EpiVacCorona itu didakwa selesai dijalankan pada bulan lalu. - Foto Agensi
Ujian fasa kedua vaksin berpotensi, EpiVacCorona itu didakwa selesai dijalankan pada bulan lalu. - Foto Agensi
A
A
A

MOSCOW - Rusia dijangka mendaftarkan vaksin kedua berpotensi, EpiVacCorona pada Khamis depan.

Vaksin dihasilkan Pusat Virologi dan Bioteknologi Vektor berpusat di Siberia itu didakwa telah selesai melakukan ujian fasa kedua pada bulan lalu.

Pengumuman itu dibuat selepas pihak berkuasa di Moscow kini mempertimbangkan untuk menutup bar dan kelab malam bagi membendung penularan gelombang kedua koronavirus (Covid-19) susulan lonjakan kes jangkitan harian hari ini pada angka tertinggi sejak pandemik tersebut bermula.

Rangkaian media RBC melaporkan pejabat Datuk Bandar Moscow mahu melakukan penutupan semula premis hiburan, namun langkah itu tidak akan dilaksanakan terhadap restoran.

"Kita perlu mengurangkan jumlah orang ramai di ibu negara. Jika tidak, kita mungkin terpaksa kuatkuasakan sekatan ketat seperti dilakukan pada musim bunga lalu," lapor media itu lagi.

Selain itu, pihak berkuasa kesihatan juga menyarankan orang ramai terutamanya individu berumur 65 tahun ke atas supaya duduk di rumah pada hujung minggu ini memandangkan Kremlin tidak merancang untuk menguatkuasakan semula lockdown.

Setakat ini, sebanyak 12,126 kes jangkitan baharu direkodkan sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kini mencecah 1,272,238 kes.

Pada 11 Mei lalu, kes jangkitan harian tertinggi dicatatkan sebanyak 11,656 kes ketika langkah lockdown ketat dikuatkuasakan di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Hari ini, sebanyak 201 kematian turut dilaporkan sejak 24 jam lalu dan menjadikan angka korban di Rusia meningkat kepada 22,257 orang. - Agensi