1,140 anggota tentera terlibat Op Penawar di Sabah, Klang

Zamrose (kanan) menerima pemakaian Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat yang disempurnakan Semaon di Kem Terendak, Melaka hari ini.
Zamrose (kanan) menerima pemakaian Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat yang disempurnakan Semaon di Kem Terendak, Melaka hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Seramai 1,140 anggota tentera darat digerakkan dalam Op Penawar bagi mengekang penularan Covid-19 di seluruh negara termasuk di Sabah dan Klang, Selangor yang diisytiharkan zon merah.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, jumlah itu termasuk penambahan 40 anggota baharu bagi melancarkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Klang bermula hari ini.

"Anggota terlibat akan membantu dalam pemeriksaan sekatan jalan raya dan rondaan bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan di Sabah pula, anggota kami turut membantu Kementerian Kesihatan mendirikan tempat khas bagi tujuan kuarantin dan pemasangan kawat berduri di kawasan tertentu.

"Bagaimanapun jumlah anggota tentera darat akan ditambah dari masa ke masa sekiranya ada keperluan atau permintaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat kepada Panglima Tentera Darat di Kem Terendak, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Zamrose dianugerah Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat yang disempurnakan Panglima 10 Briged (Para), Brigedier Jeneral Semaon Marjuki.

Penganugerahan itu merupakan penghormatan paling tinggi yang diberikan kepada penjawat awam, pemimpin tentera dalam atau luar negara melalui pencalonan yang amat teliti dan Zamrose merupakan penerima ketujuh dalam kalangan Panglima Tentera Darat Malaysia.

Kemegahan Beret Merun dan sayap penerjunan yang disematkan di dada melambangkan keberanian dan semangat keperwiraan sejati.

Dalam perkembangan lain, Zamrose berkata, 4,800 pegawai dan anggota 10 Briged (Para) melibatkan empat batalion hanya akan terlibat dalam tugas khas khususnya bagi menghadapi sebarang peperangan dan arahan itu berkuat kuasa serta-merta.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, antara tugas khas itu ialah latihan penyusupan ke kawasan musuh melalui darat, udara serta laut dan tugas ini selaras dengan status 10 Briged (Para) yang merupakan satu daripada pasukan elit selain komando.

"Tugas rutin melibatkan operasi semasa yang kami laksanakan antaranya Op Pati di Semenanjung Malaysia dan Op Pasir di Sabah dan Sarawak. Tugas ini diserah kepada Briged Infantri yang terdiri daripada Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Rejimen Renjer," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, tiga aspek iaitu komunikasi, mobiliti dan kuasa tembakan akan dipertingkat bagi memperkukuhkan kedudukan 10 Briged (Para) sebagai sebuah pasukan atur cepat.

Katanya, penambahbaikan aspek itu bagaimanapun bergantung kepada peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). - Bernama