Masalah banjir kilat Taman Happy selesai

Howard Lee (kanan) bersama Kah Woh (kiri) berbincang dengan penduduk mengenai projek tebatan banjir di Taman Happy.
Howard Lee (kanan) bersama Kah Woh (kiri) berbincang dengan penduduk mengenai projek tebatan banjir di Taman Happy.
A
A
A

IPOH - Masalah banjir kilat yang dihadapi penduduk Taman Happy, di sini sejak 40 tahun selesai.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How berkata, pihaknya berjaya membantu menyelesaikan masalah itu selepas siapnya projek tebatan banjir ini.

Menurutnya, Taman Happy merupakan antara kawasan perumahan terawal di Ipoh dan disebabkan pembangunan pesat yang tidak terancang, kawasan berkenaan menjadi tempat takungan air kerana keadaan tanah pada paras rendah.

"Dulu hujan lebat atau tak lebat dalam masa 15 minit air penuh masuk rumah. Sekarang bila hujan air dah tak masuk rumah.

"Bagaimanapun ini bukan penyelesaian sepenuhnya kerana banjir masih berlaku di kawasan jalan cuma tak masuk rumah. Sekurang-kurangnya masalah penduduk dapat diringankan," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan projek yang baharu siap dalam tempoh tiga bulan di Taman Happy, di sini, hari ini.

Hadir sama meninjau kawasan iti, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh dan Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Aldrin Ng.

Sementara itu, penduduk yang ditemui meluahkan rasa lega dengan siapnya projek itu.

Ganthi Nithiya, 26, berkata, sejak keluarganya tinggal di situ pada tahun 1992, beberapa kali rumah mereka dinaiki air.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tahun lalu sahaja lima kali air masuk ke dalam rumah sebab banjir kilat.

"Setakat ini, air dah tak masuk rumah bila hujan, mungkin sebab longkang baru ini," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Aldrin berkata, selain disebabkan keadaan longkang sempit, sikap masyarakat yang suka membuang sampah ke dalam longkang turut menjadi faktor banjir kilat.

Katanya, orang ramai perlu sedar kos untuk membuang sampah yang tersumbat sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan lain terutama pembangunan.