Qatar tuan rumah ACL Zon Timur

Windsor Paul John
Windsor Paul John
A
A
A

KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) terpaksa memindahkan perlawanan Liga Juara-Juara AFC 2020 (ACL) Zon Timur ke Doha, Qatar yang dijadualkan berlangsung dari 18 November hingga 13 Disember selepas tiada negara lain di rantau ini yang menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah.

Pada Julai lepas, AFC telah memberikan hak kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah ACL Zon Timur bagi perlawanan Kumpulan G dan H yang dijadualkan bermula 17 Oktober sehingga 1 November.

Namun hari ini, konfederasi itu telah menamakan Qatar, yang menjadi tuan rumah ACL Zon Barat dari 14 September hingga 3 Oktober lepas sebagai tuan rumah baharu.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John berkata, Qatar telah dipilih susulan pengalamannya dari segi menangani prosedur operasi standard (SOP) dan protokol yang terlibat semasa penularan pandemik koronavirus (Covid-19) ketika menjadi tuan rumah bagi ACL Zon Barat baru-baru ini.

“Kami telah membuka semula bidaan dan keputusan dibuat oleh AFC selepas tidak menerima sebarang tawaran daripada Zon Timur. Tiada siapa yang boleh memberikan jaminan dalam situasi ini dan membenarkan pasukan terbabit beraksi tanpa menjalani kuarantin.

“Kami tidak membawanya secara literal ke Qatar namun berdasarkan kejayaan negara itu menjadi tuan rumah dalam Pusingan Zon Barat tanpa timbul sebarang isu. AFC perlu membuat keputusan awal bagi memastikan semua pasukan yang bertanding membuat persediaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Kumpulan G ACL terdiri daripada Vissel Kobe (Jepun), Johor Darul Ta’zim (JDT), Guangzhou Evergrande FC (China) dan Suwon Samsung Bluewings (Korea Selatan) manakala Yokohama F. Marinos (Jepun), Jeonbuk Hyundai Motors FC (Korea Selatan), Sydney FC (Australia) dan Shanghai SIPG FC (China) berada dalam Kumpulan H.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, FAM tidak menyatakan minat untuk menjadi tuan rumah kejohanan tersebut disebabkan peraturan yang dikenakan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“MKN (Majlis Keselamatan Negara) telah menyatakan bahawa tiada penganjuran pertandingan di peringkat antarabangsa dibenarkan sehingga tahun depan. Kita tidak boleh menjadi tuan rumah kerana seluruh rantau telah terjejas akibat Covid-19. Pada akhirnya, kita sedang bergelut menangani satu pandemik dan berusaha sedaya-upaya untuk membendung penularannya.

“Kami kekal positif dan menyokong sepenuhnya usaha kerajaan dalam memerangi pandemik ini. Saya berpendapat langkah menjadikan Doha sebagai tuan rumah tidak bermakna JDT hilang kelebihan bermain di tempat sendiri, ia adil kepada semua pasukan kerana diadakan di venue yang neutral,” katanya. - Bernama