PKPB: KPDNHEP jamin bekalan makanan, barangan cukup

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan makanan dan barang keperluan mencukupi di empat daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi dalam kenyataannya berkata, penduduk di kawasan Sandakan, Papar dan Tuaran di Sabah serta Klang, Selangor dinasihati agar tidak membuat pembelian panik.

"Tiada keperluan mereka (pengguna) menyimpan barangan berlebihan kerana keadaan terkawal dan bekalan mencukupi," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, pembelian panik hanya akan menyebabkan bekalan barangan habis lebih cepat di premis daripada sepatutnya sementara menunggu pengisian semula.

"Pembelian panik juga akan mengundang pelbagai masalah sampingan lain seperti perbelanjaan lebih dan pembaziran disebabkan tarikh luput," katanya.

Beliau berkata, pekedai tidak menyimpan stok yang banyak di premis dan menunggu masa pembekal menghantar stok yang baharu.

"Disebabkan PKPB kali ini hanya membabitkan kawasan terhad dan Kementerian Pengangkutan juga sudah memberi jaminan bahawa semua kenderaan komersial bagi mengangkut barangan dibenarkan terus beroperasi seperti biasa, saya yakin tiada gangguan bekalan yang akan berlaku," katanya.

Alexander turut mengingatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan atas pelbagai alasan.

Artikel Berkaitan:

"Pegawai penguat kuasa KPDNHEP juga akan sentiasa berada di lapangan untuk memantau dan menilai keadaan, seterusnya mengambil tindakan sewajarnya dengan segera apabila diperlukan," katanya.