KAFA tetap pikul tanggungjawab lunas baki hutang

Husin Deraman
Husin Deraman
A
A
A

KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak akan berganjak, malah memberi jaminan tetap menggalas tanggungjawab melangsaikan hutang berbaki sekiranya wang penjualan The Red Warriors (TRW) berjumlah RM6.8 juta kepada Norizam Tukiman sebelum ini tidak mencukupi.

Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman berkata, hasil penjualan TRW kepada Norizam atau Zamburger telah digunakan untuk mendapatkan lesen bagi membolehkan Kelantan kekal beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

"Jumlah itu (RM6.8 juta) sebagaimana yang telah termaktub dalam perjanjian semasa proses pengambilalihan TRW.

"Bagaimanapun, bayaran itu dibuat secara berperingkat-peringkat di mana ia perlu dilunaskan sebelum penghujung Disember 2020," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, KAFA akan berusaha sedaya upaya untuk melangsaikan baki hutang-hutang itu selepas ini yang melibatkan stadium dan beberapa agensi berkaitan.

Katanya, keseluruhan hutang KAFA dianggarkan berjumlah RM8 juta.

Semalam sebuah portal melaporkan Zamburger hanya akan melunaskan bayaran hutang TRW berjumlah RM6.8 juta sahaja sebagaimana termaktub dalam perjanjian antara kedua-dua pihak.

Sementara itu, Zamburger berkata, semua hutang melibatkan TRW akan dilunaskan mengikut perjanjian yang telah dibuat iaitu RM6.8 juta.

Artikel Berkaitan:

"Saya lebih suka memikirkan soal memperkasakan TRW dan pelan pembangunan pasukan untuk musim berikutnya.

“Fokus utama saya ialah untuk memulihkan TRW dan kembali menjadi pasukan lebih baik serta kuat selepas ini,” jelasnya.