Kluster baharu di Perak, Terengganu ada sejarah ke Sabah

Dua kluster baharu Covid-19 yang dikesan di Perak dan Terengganu mempunyai sejarah perjalanan dari Sabah.
Dua kluster baharu Covid-19 yang dikesan di Perak dan Terengganu mempunyai sejarah perjalanan dari Sabah.
A
A
A

PUTRAJAYA- Dua kluster baharu Covid-19 yang dikesan di Perak dan Terengganu mempunyai sejarah perjalanan dari Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengenal pasti kluster di Sabah.

"Kluster Atap dikesan di Kota Kinabalu, Sabah selepas kes indeks iaitu kes ke 12,880 disahkan positif pada 4 Oktober lalu," katanya pada sidang akhbar harian di sini hari ini.

Menurutnya, hasil saringan terhadap 49 individu lain mendapati tiga lagi positif Covid-19.

"36 individu adalah negatif dan sembilan yang lain masih menunggu keputusan," katanya.

Beliau berkata, di Perak, kluster baharu digelar sebagai Bah Lada dikenal pasti di Perak Tengah dan Hilir Perak.

"Dua kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-12,374 dan 13,978 telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan pulang dari Sabah pada 3 Oktober lalu," katanya.

Menurutnya, mereka telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak.

Artikel Berkaitan:

"Saringan kontak rapat telah mengenal pasti dua lagi kes positif Covid-19," katanya.

Tambahnya, setakat ini, 41 individu telah disaring.

"31 individu dikesan negatif manakala enam lagi menunggu keputusan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kluster Bah Sahabat dikesan di Marang, dan Kuala Nerus, Terengganu.

"Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-10,766 dan kes ke-10,767 telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan pulang dari Sabah pada 25 September.

"Pesakit berkenaan telah dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu, Kuala Berang," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Covid-19: 354 kes positif, enam kematian hari ini

Menurutnya, lapan lagi disahkan positif selepas 88 individu disaring.

"Seramai 34 individu adalah negatif dan 44 yang lain masih menunggu keputusan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menjelaskan perintah Pengawasan di Rumah (HSO) diberikan kepada individu yang mempunyai gejala ringan dan tidak memenuhi kriteria bagi kemasukan ke wad iaitu pesakit di bawah siasatan (PUI).

Selain itu idividu yang tidak mempunyai gejala, namun mempunyai sejarah perkaitan epidemiologi seperti kontak rapat kepada kes yang dijangkiti Covid-19 iaitu individu di bawah pengawasan (PUS) turut diberikan HOS.

Kontak rapat kepada kes positif Covid-19 merupakan individu yang telah dikenal pasti oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berdasarkan siasatan lapangan dan penilaian risiko yang dijalankan.

"Kontak rapat merupakan individu yang mempunyai kontak secara langsung dengan kes positif Covid-19.

"Ini meliputi individu yang bersemuka secara langsung dengan pesakit Covid-19 pada jarak yang kurang daripada satu meter atau individu yang mempunyai kontak fizikal dalam tempoh 14 hari dari tarikh jangkitan," katanya.

Menurutnya, antara Individu yang dikesan sebagai kontak rapat meliputi anggota kesihatan yang memberi perawatan kepada kes Covid-19 yang positif tanpa menggunakan alat pelindungan diri (PPE) yang lengkap.

"Ataupun ahli keluarga yang tinggal serumah dengan kes positif Covid-19 atau duduk berdekatan misalnya di pejabat mahupun di dalam kelas.

"Kontak rapat juga adalah individu dikesan mengembara bersama atau duduk dengan jarak yang dekat dengan kes positif Covid-19 sepanjang tempoh perjalanan," katanya.

Menurutnya, individu yang pernah berhubung dengan kes positif namun tidak tidak dikenal pasti sebagai kontak rapat tidak akan diberikan HSO.

"Walau bagaimanapun individu ini dinasihatkan untuk menjalani kuarantin kendiri dan memantau status kesihatan masing-masing sepanjang tempoh 14 hari serta mengamalkan nasihat kesihatan yang telah dikeluarkan oleh KKM," katanya.