Tutup sekolah jika guru, murid sah positif Covid-19

Seorang pegawai keselamatan menutup pintu pagar sekolah berikutan daerah Klang dikelaskan sebagai Zon Merah berikutan penularan Covid-19 ketika tinjauan di Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai. - Foto Bernama
Seorang pegawai keselamatan menutup pintu pagar sekolah berikutan daerah Klang dikelaskan sebagai Zon Merah berikutan penularan Covid-19 ketika tinjauan di Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Arahan penutupan sekolah akan dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selepas guru atau murid disahkan positif Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dicapai dalam Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 hari ini.

"Mesyuarat bersetuju supaya KPM mengeluarkan arahan menutup sekolah jika terdapat guru atau murid yang disahkan positif Covid-19 tanpa menunggu penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Menurutnya, mesyuarat yang diadakan secara dalam talian itu memberi tumpuan khusus kepada situasi di Sabah.

"Memandangkan kes-kes di negeri ini masih menunjukkan peningkatan, mesyuarat bersetuju supaya Kementerian Pendidikan meneliti keperluan untuk menutup sekolah-sekolah di seluruh negeri Sabah," katanya.

Katanya, pengumuman rasmi akan dibuat oleh Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata, kapasiti hospital untuk merawat pesakit Covid-19 di Sabah juga dibincangkan.

"Mesyuarat bersetuju supaya KKM berbincang dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mendapatkan bantuan kemudahan perubatan yang boleh ditawarkan oleh Kor Perubatan ATM," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) telah diarahkan supaya memberi keutamaan kepada pengurusan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah yang menjadi antara punca merebaknya jangkitan Covid-19 di negeri itu.

"Ini termasuk keperluan meningkatkan kapasiti depot tahanan imigresen untuk menempatkan PATI yang ditahan dan memastikan semua tahanan tidak terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19," katanya.

Menurutnya, antara yang turut dibincangkan adalah kes di Kedah.

"Kebanyakan kluster di Kedah termasuk Kluster Sivagangga, Kluster Muda dan Kluster Sanglang tidak lagi mencatatkan kes baharu," katanya.

Beliau berkata, hanya Kluster Bah Sintok dan Tembok merekodkan kes baharu namun masih dapat dibendung.

"Ini menunjukkan langkah-langkah yang diambil oleh pelbagai agensi untuk membendung pandemik ini di negeri Kedah berkesan," katanya.

Selain itu, kes-kes baharu Covid-19 di Selangor dan Wilayah Persekutuan juga turut dibincangkan.

"Ini termasuk kes yang melibatkan murid di Sekolah Kebangsaan Bangsar," katanya.