Permohonan pembangunan telah diluluskan Januari 2019: MPAJ

Laporan Sinar Harian berkaitan bantahan penduduk Bukit Antarabangsa berhubung pembangunan di Lot 850, Batu 6 1⁄4, Jalan Ulu Klang, Mukim Ulu Klang, Daerah Gombak semalam.
Laporan Sinar Harian berkaitan bantahan penduduk Bukit Antarabangsa berhubung pembangunan di Lot 850, Batu 6 1⁄4, Jalan Ulu Klang, Mukim Ulu Klang, Daerah Gombak semalam.
A
A
A

AMPANG - Permohonan berhubung cadangan pembangunan di Lot 850, Batu 6 1⁄4, Jalan Ulu Klang, Mukim Ulu Klang, Daerah Gombak di sini telah diluluskan dalam mesyuarat pada 8 Januari tahun lepas.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini memberitahu, pihaknya sedia maklum mengenai bantahan penduduk berhubung pembangunan tersebut.

"Bantahan penduduk Bukit Antarabangsa, Hulu Kelang berhubung cadangan pembangunan perdagangan yang mengandungi Fasa 1- Blok A (Menara pejabat A, ruang perniagaan enam tingkat dan podium tempat letak kereta enam tingkat), Fasa 2-Blok B (Menara pejabat B, Menara pejabat C, Menara pejabat D, Menara pejabat E, ruang perniagaan 1 tingkat dan podium tempat letak kereta lapan tingkat di Lot 126846 (lot lama dikenali sebagai Lot 850), Batu 61/4, Ulu Klang.

"Permohonan diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa OSC Bil 1/2019 pada 8 Januari 2019," katanya.

Berkaitan insiden pokok terkena kereta orang awam disebabkan kerja-kerja yang dijalankan, katanya, pokok tersebut telah pun condong dan berada dalam keadaan tidak stabil sebelum kerja dilaksanakan di tapak.

"Ia berlaku ekoran hujan lebat sejak kebelakangan ini yang telah menyebabkan pokok tersebut berada dalam keadaan tidak stabil dan tumbang.

"Tindakan pembersihan sisa pokok yang menghalang Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) telah dilaksanakan oleh pemaju dengan serta-merta dan pihak pemaju juga akan menguruskan ganti rugi terhadap kerosakan kenderaan awam yang berlaku," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bantahan penduduk Bukit Antarabangsa

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Bukit Antarabangsa Task Force 850 (BATF 850) menuntut penjelasan pihak berwajib dan kerajaan berhubung status projek Lot 850, Batu 6 1⁄4, Jalan Ulu Klang, Mukim Ulu Klang, Daerah Gombak yang dibantah sejak tahun 2016.

Pengerusinya, Datuk Albakri Ali berkata, tanpa sebarang pemakluman rasmi, pihaknya mendapati kerja-kerja projek itu terletak bersebelahan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) telah dimulakan di tapak berkenaan.

Katanya, difahamkan projek tersebut digantung sementara berdasarkan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) terakhir pada 18 Ogos 2016 di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang disertai jawatankuasa itu bagi meneliti bantahan yang dibuat.

“Sehingga kini, tiada sebarang pemakluman rasmi diberikan kepada kami sehinggalah kami mendapati terdapat papan tanda projek dinaikkan pada tahun ini.

“Surat bantahan telah dihantar kepada MPAJ dan Menteri Besar Selangor pada Mac lalu untuk tuntut penjelasan, namun tiada maklum balas diberikan sehingga kini.

“Kerja-kerja projek telah dimulakan apabila jentera mula memotong pokok-pokok di tapak berkenaan. Baru-baru ini berlaku insiden pokok terkena kereta orang awam disebabkan kerja-kerja yang dijalankan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

BATF 850 merupakan sebuah badan bertindak yang mewakili 30 buah taman perumahan di sekeliling kawasan Bukit Antarabangsa bertujuan melindungi kepentingan dan kebajikan penduduk di situ.

Bantahan terhadap projek yang mengandungi dua blok kondominium 41 tingkat itu dibuat ekoran kebimbangan penduduk terhadap kawasan projek yang berisiko, dan tidak mahu tragedi bangunan dan tanah runtuh yang pernah berlaku di kawasan Bukit Antarabangsa berulang.

Berdasarkan info pada papan tanda projek, kelulusan pembangunan dinyatakan bertarikh 11 Julai 2020, manakala kelulusan pelan kerja tanah adalah bertarikh 22 November 2019.

Tarikh projek bermula 22 Jun 2020 dan akan tamat pada 5 Julai 2021.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, projek tersebut tidak sepatutnya diluluskan kerana ia melibatkan kawasan yang berisiko.